KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kira-kira 100 anggota polis didapati positif dadah menerusi Operasi Blue Devil yang dilaksanakan dari 13 Ogos hingga 17 Ogos lalu.
Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, beliau turut terkejut dengan jumlah tersebut yang dianggap berada pada tahap kritikal.
“Saya mengambil pendekatan secara menyeluruh yang mana tindakan turut diambil ke atas warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melancarkan ‘Op Blue Devil’ yang mana pegawai dan anggota polis dikehendaki menjalani ujian air kencing dan ada yang didapati positif pelbagai jenis dadah, terutamanya syabu.
“Jika warga PDRM yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi mereka sendiri pun terlibat dengan kegiatan ini, apa hendak jadi dengan negara ini,” katanya seperti dipetik daripada Bernama.
Abdul Hamid bagimanapun berkata, aktiviti penyalahgunaan dadah itu sudah dijangka dan terbukti kerana mereka turut terlibat dalam kes-kes pemerasan, rasuah, ugut dan menjadikan pekerja-pekerja asing sebagai mangsa.
Daripada 3,438 anggota PDRM yang menjalani ujian saringan air kencing, 86 didapati positif dadah jenis syabu, masing-masing enam individu positif Amphetamine dan Opiat manakala selebihnya dua individu positif ganja dan seorang positif ketamin.
Tambah Abdul Hamid, operasi itu akan dilaksanakan secara berterusan dan arahan telah diberikan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk tidak menghentikan operasi berkenaan.