Tayar Ambulans Hospital Slim River Pecah Berulang Kali Sebelum Kemalangan Maut

Tiga hari selepas kemalangan berlaku, semua tayar ambulans-ambulans hospital kerajaan tersebut dipercayai ditukar.

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pada 27 Julai lalu, tayar sebuah ambulans yang membawa seorang pesakit dari Hospital Slim River ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak mengalami kerosakan. Ia pecah tetapi lapisan bunga tayar (tread) tidak tertanggal dan tidak menyebabkan kemalangan.

Satu minggu kemudian pada 4 Ogos, jam 6.40 pagi, tayar kanan belakang ambulans plat nombor W4802M pecah dalam perjalanan kembali ke Hospital Slim River. Ambulans tersebut telah membawa pesakit Azizah Dolah, 66, ke Ipoh untuk imbasan CT.

Walau bagaimanapun, mengikut laporan awal siasatan polis, tayar pecah kali ini mengakibatkan kenderaan tersebut terbabas, melanggar penghadang jalan dan terbalik. Ia meragut nyawa Azizah dan Mohd Hafidz Mohd Bahari, pemandu ambulans berusia 37 tahun.

Hafidz meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala, sementara pesakit maut kerana peralatan bantuan pernafasannya tercabut. Hafidz mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak berusia 11, lapan dan dua tahun.

Imej tayar pecah ambulans tersebut yang dikongsi di laman sosial Facebook kelihatan menunjukkan sebuah tayar celup, dengan serpihan bunga tayarnya yang koyak dan tertanggal berhampiran kenderaan tersebut.

Seorang doktor, jururawat dan pembantu perawatan kesihatan (PPK) selamat dalam kemalangan ini. Polis kini menyiasat kejadian tersebut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana berlakunya kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.

Sebelum kemalangan 4 Ogos dan kejadian tayar pecah 27 Julai, sebuah ambulans Hospital Slim River yang lain mengalami situasi yang sama pada 21 Disember 2018 dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun. Ketika itu, ia membawa seorang pesakit. Walau bagaimanapun, lapisan bunga tayar tidak tertanggal dan kenderaan dapat dikawal.

Tayar pecah ambulans Hospital Slim River dalam kemalangan di KM 368.3 Lebuhraya Utara Selatan dekat Slim River, Perak, pada 4 Ogos 2019.
Bunga tayar tercabut dari ambulans Hospital Slim River dalam kemalangan di KM 368.3 Lebuhraya Utara Selatan dekat Slim River, Perak, pada 4 Ogos 2019.

Setiap hari, ambulans daripada hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Slim River menghantar pesakit ke Ipoh, yang merupakan perjalanan sejauh 105 kilometer. Hospital Slim River tidak mempunyai kemudahan imbasan CT.

Bercakap dengan CodeBlue, seorang sumber di Hospital Slim River mendakwa ambulans W4802M yang terlibat dalam kemalangan 4 Ogos, pernah mengalami tayar pecah sebelum itu tetapi tidak mengalami kemalangan. Walau bagaimanapun, sumber lain mempersoalkan dakwaan ini.

Lapan sumber berbeza yang bekerja di Hospital Slim River, bercakap dengan CodeBlue dengan syarat tidak memberikan nama mereka kerana bimbang hilang pekerjaan.

Mereka mendakwa tayar ambulans-ambulans hospital kerajaan itu pecah di antara satu hingga tiga kali tahun ini sebelum kemalangan yang membawa maut tersebut. Kejadian tayar pecah juga pernah berlaku sebanyak tiga kali pada tahun 2018. Dalam semua kes-kes ini, tiada kemalangan berlaku.

Empat sumber juga memberitahu bagaimana UEM Edgenta, sebuah syarikat berkaitan/ milik kerajaan (GLC) yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan penyelenggaraan ambulans-ambulans hospital, telah menukarganti bukan sahaja kesemua tayar ambulans-ambulans hospital, tetapi juga sebuah lori dan tiga buah van jenazah pada 7 Ogos, tiga hari selepas kemalangan yang membawa maut itu.

Seorang sumber berkata, tali pinggang keledar pada pengusung atau “stretcher” juga kini dipasang pada ambulans-ambulans yang sebelum ini tidak dilengkapi dengan peralatan tersebut. Seorang lagi berkata dahulunya ada tali pinggang keledar pada “stretcher” yang tidak mempunyai kancingnya.

Sebuah tayar ganti baru juga diletakkan pada lori, walaupun kenderaan tersebut kononnya hanya digunakan sebulan sekali. Tayar-tayar baru tersebut (jenama Continental untuk ambulans dan van; Silverstone untuk lori) diperolehi, mengikut sumber, daripada bengkel-bengkel kereta berhampiran di sekitar Slim River. Salah satu daripadanya dikenalpasti sebagai Pertamina Auto Servis Bengkel C.W Sdn Bhd. Sebelum ini ambulans dipasang dengan tayar Toyo dan GT Radial.

Saya Takut Naik Ambulans

Seorang sumber mendakwa Ambulans W4802M yang terbabit dalam kemalangan maut tidak mempunyai tali pinggang keledar pada stretchernya. Seorang lagi mengatakan radio pada ambulans tersebut sudah lama rosak, walaupun aduan telah dibuat kepada UEM Edgenta.

Satu lagi sumber mendakwa pintu sebelah pesakit pada Ambulans W4802M dalam kemalangan itu tidak dapat dibuka dari dalam kerana pemegangnya rosak. Aduan telah dibuat kepada UEM Edgenta lebih setahun yang lalu.

UEM Edgenta – yang dimiliki UEM Group Berhad, sebuah anak syarikat Khazanah Nasional Berhad – menyediakan perkhidmatan sokongan hospital kepada Hospital Slim River. Hospital tersebut adalah di antara 32 buah hospital KKM di Perak, Kedah, Penang dan Perlis di bawah sebuah konsesi selama 10 tahun yang akan berakhir pada 2025.

“Ambulan itu silent killer.”

Staf Hospital Slim River

“Sekarang, semua ambulan dan lori tukar tayar baru. Kenapa? Kenapa tukar tayar baru? Mesti ada sesuatu yang salah,” kata seorang sumber kepada CodeBlue.

“Saya naik ambulan setiap hari; saya pun dah takut. Kita buat aduan, ada masalah-masalah. Kadang-kadang syarikat boleh marah kita — ‘apa pun lain-lain, orang lain naik elok’. Masalah banyak, tak dengar.”

Beliau mendakwa pemeriksa UEM Edgenta tidak melakukan pemeriksaan penyelenggaraan yang sepatutnya pada ambulans-ambulans Hospital Slim River, dan tidak ada pengawasan terhadap kerja yang dilakukan. “Dia hanya sekadar tengok, sentuh-sentuh, ‘okey, sudah cantik’, tulis dalam buku ‘bagus’. Tak ada orang pantau. Yang pantau pun geng, boleh kautim.”

Tayar lama ambulans atau lori Hospital Slim River sebelum mereka dipercayai ditukarganti dengan tayar baru selepas kemalangan maut pada 4 Ogos 2019 yang melibatkan sebuah ambulans dari hospital yang sama.

Masalah Dengan Penyelenggaraan Ambulans?

Seorang sumber pula menggesa pihak berkuasa agar menyiasat kemalangan ambulans Hospital Slim River dan mengatakan “maintenance itu macam sesuatu yang tak kena”.

“Itu yang kita geram tu. Bila ada accident, kelam kabut nak betulkan yang mana.”

Beliau mengatakan: “Kita dah bagi tahu tak ada seatbelt pada pihak Edgenta servis; mereka buat tak heran, mereka anggap benda tu macam tak penting.”

Seorang lagi sumber mengatakan UEM Edgenta memeriksa ambulans di Hospital Slim River setiap enam bulan. Mereka memeriksa tayar, minyak, pemadam api dan semua peralatan dalam kenderaan-kenderaan tersebut.

Tetapi beliau mendakwa UEM Edgenta tidak melakukan permeriksaan yang betul: “Atas kertas semua kena check, tapi kalau betul-betul kena check, mereka tak akan buat.” Beliau juga menuduh GLC tersebut hanya “tukar stiker label saja” pada pemadam api yang sudah tamat tempoh.

Beliau juga mendakwa pembekal perkhidmatan sokongan hospital itu menggantikan lampu-lampu rosak pada ambulans dengan jenis yang berbeza daripada yang sepatutnya digunakan, walaupun aduan dibuat kepada penyelia mereka.

“Kadang cermin crack pun, kita komplen, mereka kata hospital kena keluar wang. ‘Tak apa lah’.”

Staf Hospital Slim River

Sumber tersebut mengadu bahawa di Hospital Slim River, pembantu perubatan (MA) diberikan kuasa penuh ke atas kenderaan ambulans, dan bukannya pemandu. MA secara kebiasaannya tidak menaiki ambulans. Ini dibandingkan dengan MA di hospital-hospital kerajaan lain. Mereka hanya menjaga peralatan perubatan pada ambulans, sementara pemandu bertanggungjawab di atas penyelenggaraan kenderaan.

“Kalau you pergi survei [Hospital] Sungai Buloh ke, Selayang ke, Ipoh ke, ambulan rosak ke apa, driver sendiri 100 peratus. Kalau workshop hantar balik pun, kalau driver tak puas hati, driver tak terima tau, reject, lain-lain tempat lah. Kalau sini, tak puas hati pun, kita kena terima juga,” beliau berkata.

“Ini medical assistant, you tak bawa ambulan, you tak tahu apa macam condition ambulan, boleh jalan jauh ke, tapi mereka tentukan. Ini sudah jadi lain tahu, management sini.”

Hafidz Merupakan Pemandu Yang Berhati-hati

Pemandu ambulans Hospital Slim River Mohd Hafidz Mohd Bahari (kiri) dengan keluarganya. Gambar dari laman Facebook Siti Khamisah.

Ambulans yang dipandu Allahyarham Hafidz, kata seorang sumber yang lain, adalah model Iveco yang lebih tinggi daripada ambulans Toyota. Ia mempunyai bumbung tinggi yang membolehkan seseorang berdiri dalam kenderaan tersebut.

“Ambulan tu sangat tinggi dari ambulan biasa, memang mudah terbalik,” kata sumber itu.

Beliau mendakwa seorang jururawat telah pergi ke ibu pejabat polis daerah Muallim di Slim River untuk membuat laporan mengenai kemalangan 4 Ogos itu. Anggota polis di sana dikatakan memberitahu kakitangan hospital itu bahawa aduan tidak perlu dilakukan kerana pemandu akan disalahkan.

“Polis, dari segi pengalamannya, dia cakap macam tu. Saya pun jadi pelik,” beliau berkata.

“Kenapa siasatan belum habis, nak salahkan pemandu? Kita pun jadi fed up dan bangang, macam pengurusan mahu menyalahkan arwah.”

Staf Hospital Slim River

Seorang lagi sumber mengatakan Hafidz adalah pemandu yang berhati-hati. Beliau tidak pernah melihat pemandu tersebut memecut, tertidur atau tersengguk-sengguk dalam ambulans. Apabila tiba di Ipoh, Hafidz dikatakan kadangkala tidur sekejap satu atau dua jam sementara menunggu pesakit selama lima hingga enam jam. Apabila dalam perjalanan pulang ke Slim River, sekiranya mengantuk, dengan kebenaran doktor, beliau akan tidur sekejap selama 45 minit di kawasan rehat dan rawat (R&R).

“Dia tak suka laju. Even emergency dia steady. Dia tak laju, tak perlahan. Dia biasa je. Arwah pun ada tanya doktor, ‘Bos, patient okey ke?’. Okey, maintain. Dia tak ada nak rushing. Safety banyak dengan dia.”

Sumber tersebut juga berkata Hafidz ada memberitahunya sebelum kemalangan tersebut terjadi bahawa ada masalah dengan tayar ambulans tersebut.

“Dia punya instinct rasa, ada rasa something wrong. So saya cakap, ‘better you check’. Then I dengar accident.”

Laporan Puspakom Akan Mengambil Masa Sebulan

Kemalangan melibatkan sebuah ambulans Hospital Slim River di KM 368.3 Lebuhraya Utara Selatan di Slim River, Perak, pada 4 Ogos 2019. Gambar dari laman Facebook Damanhuri Mat Yassim.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof memberitahu CodeBlue bahawa Puspakom sudah pun membuat pemeriksaan ke atas Ambulance W4802M pada 21 Ogos. Walau bagaimanapun, ia akan mengambil masa sebulan untuk syarikat pemeriksaan kenderaan nasional tersebut mengeluarkan laporan mengenai kemalangan tersebut.

“Kadang-kadang cepat, kadang-kadang lambat, bergantung kepada dia punya management,” Wan Kamarul berkata.

“Polis tak boleh sahkan, celup atau tidak, kita tak pakar,” tambah beliau, merujuk kepada spekulasi di internet yang mengatakan tayar ambulans tersebut mungkin tayar celup.

Apabila ditanya mengenai dakwaan polis Muallim telah memberitahu seorang kakitangan Hospital Slim River bahawa aduan tidak perlu dibuat, Wan Kamarul berkata beliau tidak mengetahui hal tersebut.

“Siapa-siapa pun boleh buat repot,” beliau berkata. “Polis tak boleh halang orang awam buat repot.”

Seorang pegawai Puspakom mengesahkan bahawa pemeriksa daripada syarikat tersebut telah memeriksa ambulans tersebut di stesen polis Slim River. Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai pemeriksaan tersebut, dan mengatakan terpulang kepada polis untuk membuat kenyataan mengenai kes ini.

Pegawai KKM berjumpa pada 6 Ogos untuk melaksanakan audit terhadap kemalangan tersebut, dan telah pergi melihat ambulans terbabit di stesen polis Slim River dan melawat tempat kejadian. Mesyuarat dipengerusikan oleh Dr Teo Aik Howe, seorang pakar perubatan kecemasan dari Hospital Pulau Penang, dan dihadiri oleh ketua pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) Dr Siti Zaharah Ishak; pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan; pakar perubatan kecemasan Dr Sarah Syeikh Abdul Karim dari Hospital Sungai Buloh; Dr Norisah Mahat Nor, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Jabatan Kesihatan Negeri Perak; serta pegawai KKM dari bahagian-bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Amalan Perubatan, Kawalan Penyakit dan Pekembangan Perubatan.

Dua sumber memberitahu CodeBlue bahawa audit dalaman KKM belum lagi memberi kata putus atau membuat kesimpulan muktamad. Seorang daripadanya mengatakan pegawai-pegawai terbabit tidak dapat menyimpulkan bahawa tayar pecah menyebabkan kemalangan tersebut. KKM masih belum mengumumkan hasil siasat dalamannya.

Konsesi KKM Selama 10 Tahun Kepada UEM Edgenta

Di bawah konsesi 10-tahun perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan UEM Edgenta meliputi hospital KKM di kawasan utara yang ditandatangani pada 2015, GLC ini memberi perkhidmatan seperti penyelenggaraan kejuruteraan bioperubatan dan kejuruteraan fasiliti, pengurusan sisa kesihatan, porter, linen dan dobi, dan perkhidmatan pengurusan fasiliti.

Mengikut laporan tahunan 2018 UEM Edgenta, pendapatan daripada bahagian perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatannya meningkat kepada RM984.6 juta dalam tahun kewangan 2018 berbanding dengan RM904.2 juta tahun sebelumnya. Untung selepas cukai juga meningkat kepada RM86.5 juta tahun lalu daripada RM80.7 juta pada 2017.

Bahagian sokongan penjagaan kesihatan menyumbang sebanyak 45 peratus daripada jumlah pendapatan UEM Edgenta RM 2.18 bilion pada 2018. Pendapatan dilihat meningkat sebanyak 3.3 peratus dari 2017.

“Sumbangan daripada perusahaan konsesi, yang dilaksanakan oleh Edgenta Mediserve Sdn Bhd (‘Edgenta Mediserve’), terus stabil dari tahun ke tahun disebabkan keuntungan yang meningkat hasil daripada perubahan kerja baru daripada Kementerian Kesihatan Malaysia,” laporan tersebut berkata.

Edgenta Mediserve juga menerima anugerah empat-bintang daripada KKM disebabkan “perkhidmatan sokongan hospital cemerlang”.

Apabila ditanya mengapa UEM Edgenta menukar tayar kesemua ambulans-ambulans di Hospital Slim River selepas kemalangan maut bulan Ogos, dan mengapa tidak selepas kejadian-kejadian tayar pecah yang lalu, syarikat tersebut tidak memberikan komen. Seorang jurucakap memberitahu CodeBlue hari Jumaat lalu bahawa UEM Edgenta akan menunggu respons KKM terlebih dahulu kerana syarikat tersebut adalah pembekal perkhidmatan kepada kementerian.

KKM: Tiada Tayar Ambulans Ditukar Selepas Kemalangan

Apabila ditanya mengapa Hospital Slim River atau UEM Edgenta tidak menukarganti tayar ambulans selepas sekurang-kurangnya dua insiden tayar pecah, iaitu pada 27 Julai lalu dan 21 Disember lalu, bahagian kejuruteraan KKM berkata kerja penukaran tayar berdasarkan pada kriteria berikut: batuan (kilometer), tiga tahun daripada tarikh dikilang, dan keadaan fizikal tayar.

“Tayar ambulan Hospital Slim River tidak ditukar sebelum hari kemalangan kerana tayar tersebut masih mematuhi kriteria di atas,” bahagian kejuruteraan KKM memberitahu CodeBlue dalam satu kenyataan lewat semalam.

KKM juga mengesahkan tiada rekod penukaran tayar bagi mana-mana kenderaan milik Hospital Slim River pada 7 Ogos lalu.

“Walau bagaimanapun, pada 8 Ogos 2019, pihak UEM Edgenta telah membuat penggantian lima buah tayar bagi sebuah lori (WHY2193), dan lima buah tayar lagi untuk sebuah van penumpang (AFD9756). Penggantian ini dilakukan kerana tayar-tayar tersebut telah menghampiri tarikh luput yang telah ditetapkan oleh pihak KKM, iaitu tiga tahun daripada tarikh dikilang,” bahagian kejuruteraan KKM berkata.

Kenyataan ini dibuat walaupun empat sumber mendakwa bahawa semua ambulans Hospital Slim River menerima tayar baru selepas kejadian kemalangan.

Bahagian kejuruteraan KKM juga berkata semua kesemua stretcher yang dipasang di dalam ambulans KKM telah dilengkapi dengan strap. Mereka diperiksa dan disahkan bersama oleh pihak pengguna dan pihak syarikat konsesi sebelum diserahkan kepada pihak hospital.

“Merujuk kepada perjanjian Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH) antara pihak kerajaan dan syarikat konsesi, pihak syarikat dikehendaki memastikan kesemua alat ganti yang diperolehi daripada pembekal dan pembuat adalah mencukupi, baru dan asli,” KKM berkata.

“Sepanjang kontrak PSH tiada isu pembekalan tayar celup pernah dibangkitkan kerana kepatuhan dipantau secara berkala ke atas tayar yang mengikut spesifikasi.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan Jawatankuasa Siasatan Bebas. Siasatan secara keseluruhan dilakukan dan tidak tertumpu kepada tayar kenderaan semata-mata.”

Bahagian kejuruteraan KKM juga berkata ia adalah tanggungjawab pengawai kenderaan dan pemandu untuk memastikan setiap kenderaan jabatan dalam keadaan yang baik dan selamat.

“Mengikut kepada kontrak PSH, syarikat konsesi bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara berjadual (bulanan dan tahunan) atau memeriksa setiap 5,000km atau tiga bulan sekali (yang mana lebih awal) manakala kerja-kerja breakdown as per user request.”

Apabila ditanya sama ada KKM akan hentikan sementara konsesinya dengan UEM Edgenta, KKM berkata tiada isu yang timbul untuk menghentikan sementara perkhidmatan UEM Edgenta atas sebab kejadian kemalangan.

“Sekiranya terbukti kesalahan di pihak UEM Edgenta atas kejadian ini, tindakan yang sepatutnya berdasarkan kontrak PSH akan dikenakan kepada pihak syarikat,” KKM berkata.

“Di dalam kontrak PSH terdapat terma dan syarat berkenaan penghentian servis PSH (termination), namun untuk kes ini tidak mudah (straightforward) untuk proses penghentian servis (termination). Sekiranya perlu, pihak pengurusan tertinggi kerajaan hendaklah mempunyai justifikasi yang kukuh untuk menghentikan perkhidmatan PSH berkaitan.”

You may also like