KKM Kerjasama Dengan Klinik Senaman UniSHAMS Untuk Terapi Percuma

Ini merupakan kerjasama tiga hala (tripartite) di antara pihak KKM, UniSHAMS dan MS New Symphony Exercise Clinic.

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menandatangani hari ini sebuah memorandum perkongsian Klinik Senaman di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil, Kedah, bagi tahun 2019-2021.

Ini merupakan kerjasama tiga hala (tripartite) di antara pihak KKM, UniSHAMS dan MS New Symphony Exercise Clinic di Kuala Ketil, sebuah klinik senaman.

“Pihak KKM bersedia untuk memberikan kerjasama di dalam membuat saringan kesihatan individu yang datang ke Klinik Kesihatan Kuala Ketil, Kedah dan merujuk individu yang berisiko ke Klinik Senaman di UniSHAMS tanpa mengenakan sebarang bayaran,” Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam satu kenyataan hari ini. 

“Individu yang berisiko ini akan diberikan regim preskripsi senaman yang sesuai oleh ahli terapi senaman mengikut faktor risiko klien dan program ini akan berjalan sehingga enam bulan hingga setahun.”

Menurut Dr Noor Hisham, Malaysia mempunyai prevalen faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tertinggi di rantau Asean. 

“Inisiatif Klinik Senaman yang akan dilaksanakan oleh UniSHAMS ini dengan kerjasama MS New Symphony Exercise Clinic adalah satu program yang sangat baik di dalam usaha proaktif mengekang peningkatan penyakit NCD,” beliau berkata.

“Program ini juga merupakan adaptasi daripada projek perintis PERSENAM yang telah berjaya menunjukkan keberkesanan senaman dalam mengawal kes-kes pra-hipertensi dan pra-diabetes. Indikator positif ini diharapkan dapat membantu untuk mengekang peningkatan penyakit NCD yang semakin lama semakin meruncing di dalam negara.”

Berdasarkan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, 3.5 juta orang dewasa berumur 18 ke atas di Malaysia menghidap diabetes. Ini merupakan 17.5 peratus daripada populasi dewasa negara ini. 

Tinjauan 2015 menunjukkan hipertensi, atau tekanan darah tinggi, melibatkan satu daripada tiga orang dewasa berumur 18 ke atas, bersamaan dengan 30.3 peratus atau 6.1 juta orang di Malaysia. 

You may also like