Cukai Nasi Putih, Makanan Segera Untuk Membanteras Diabetes?

Seorang pakar endokrin juga sarankan penalti atau denda terhadap kakitangan kerajaan yang melepasi sesuatu tahap berat badan.

PETALING JAYA, 25 Mac — Seorang pakar endokrin mencadangkan cukai ke atas nasi putih, makanan segera dan makanan indeks glikemik (IG) tinggi sebagai langkah menangani diabetes. Seorang daripada lima rakyat Malaysia dewasa kini hidup dengan penyakit ini.

Dr. Anuar Zaini Md Zain, pakar endokrin di Hospital Beacon menyatakan hasil daripada cukai yang dikenakan keatas makanan indeks glikemik tinggi – makanan berkarbohidrat yang menaikkan kandungan gula darah dengan cepat – boleh disalurkan kepada petani dan syarikat peladangan bagi membolehkan penurunan harga makanan berkhasiat. Ianya juga boleh digunakan untuk membina taman dan gim.

“Seperti industry halal, kita boleh membangunkan industri makanan indeks glikemik rendah. Wujudkan sertifikasi indeks glikemik rendah!” Anuar Zaini berkata kepada CodeBlue ketika temuramah beliau di Hospital Beacon baru-baru ini.

“Pastikan makanan berkhasiat mampu dibeli”

Makanan berkarbohidrat mempunyai tahap IG yang berbeza dan bergantung kepada kepantasan badan menukarkan karbohidrat kepada glukosa. Lemak dan daging tidak mengandungi karbohidrat, dan tidak disenaraikan sebagai IG.

Tiga paras IG yang digunakan adalah rendah (55 ke bawah), pertengahan (56 hingga 69) dan tinggi (lebih daripada 70). Makanan ber-IG rendah diutamakan kerana ianya dihadam atau dicernakan secara perlahan, menyebabkan peningkatan glukosa darah yang sedikit dan pada kadar yang lambat berbandingkan makanan ber-IG tinggi.

Makanan ber-IG rendah termasuk nasi basmati dan nasi perang, roti gandum penuh, quinoa, buah-buahan seperti apel dan buah pir, sayuran seperti lobak, kubis, brokoli, dan pasta.

Makanan ber-IG tinggi pula termasuklah nasi putih, roti putih, ubi kentang, mee segera, makanan segera seperti burger, minuman ringan, dessert dan cokelat.

“Nasi perang dan basmati mempunyai kanji yang sedikit. Walau bagaimanapun nasi basmati adalah yang termahal, manakala nasi putih pula adalah yang paling murah,” Dr Anuar Zaini berkata. “Lebih berkhasiat makanan tersebut, lebih mahal harganya.”

Dr Anuar Zaini, yang juga merupakan profesor perubatan di Universiti Monash, menyarankan agar makanan segera dikenakan cukai kerana ianya menyebabkan obesiti kanak-kanak.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan mengenakan penalti atau denda seperti bayaran bonus yang rendah terhadap kakitangan kerajaan, polis dan tentera sekiranya berat badan mereka melepasi sesuatu tahap.

“Mereka makan, makan dan terus makan,” Dr Anuar Zaini berkata. “Apabila berlebihan berat badan, anda akan menjadi malas dan produktiviti menurun.”

National Health and Morbidity Survey 2015 – Ministry of Health, Malaysia

Berdasarkan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, 3.5 juta orang dewasa berumur 18 ke atas menghidap diabetes. Ini merupakan 17.5 peratus daripada populasi dewasa negara ini. Lebih separuh daripada mereka tidak menyedari menghidap penyakit tersebut. 17.5 peratus prevalens pada tahun 2015 meningkat daripada 11.6 peratus pada 2006.

Dr Anuar berkata lebih daripada 98 peratus kes diabetes di Malaysia adalah Jenis 2. Ini adalah jenis yang disebabkan oleh gaya hidup apabila badan sudah tidak berupaya menggunakan insulin daripada pankreas. Diabetes Jenis 1 adalah dimana sistem imun memusnahkan sel yang mengeluarkan insulin dalam pancreas.

Tinjauan 2015 menunjukkan hipertensi atau tekanan darah tinggi, melibatkan satu daripada tiga orang dewasa berumur 18 ke atas, bersamaan dengan 30.3 peratus atau 6.1 juta orang di Malaysia. Lebih daripada separuh, atau 17.2 peratus daripada populasi dewasa, tidak didiagnosis. Hanya 13.1 peratus mengetahui status hipertensi mereka.

Kajian ini juga menunjukkan bahawa hampir separuh daripada populasi dewasa di Malaysia berumur 18 ke atas (47.7 peratus) atau 9.6 juta orang mempunyai tahap kolesterol yang tinggi. Empat daripada lima orang individu tidak mengetahui kondisi mereka.

Rakyat Malaysia juga semakin meningkat berat badan. Hampir separuh daripada populasi dewasa negara ini berumur 18 ke atas berlebihan berat badan  dan obes mengikut hasil kajian tersebut. Seorang daripada tiga orang dewasa berlebihan berat (30 peratus) sementara 3.3 individu dewasa dikategorikan sebagai obes (17.7 peratus).

Ketahui samada anda berisiko menghidap diabetes

Oleh kerana diabetes sering tidak mempunyai simtom yang ketara, Dr. Anuar menyeru agar rakyat Malaysia mengisytiharkan diri mereka sebagai berisiko menghidapi diabetes sekiranya mempunyai factor-faktor risiko seperti berlebihan berat badan atau obes, kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, dan mempunyai ahli-ahli keluarga yang hidup dengan penyakit tersebut.

“Ujilah diri anda,” beliau berkata. “Kita mesti bertanya sama ada diri kita berisiko untuk mendapat diabetes.”

Beliau menyarankan agar kerajaan memberikan fokus strategi diabetesnya kepada individu pra-diabetik. Individu-individu ini mempunyai paras gula darah yang tinggi daripada normal, tetapi belum lagi dikategorikan sebagai diabetik.

Mengikut Dr. Anuar, apabila dalam keadaan berpuasa, paras gula darah adalah diantara 5.7 dan 6.9 mmol/l bagi pra-diabetik. Tahap diabetes adalah melebihi 7 mmol/l. Paras gula darah pula adalah dibawah 5.7 mmol/l.

“Kita masih tidak menangani mereka (pra-diabetik),” Dr. Anuar berkata. “Setiap tahun, 10 hingga 20 peratus daripada mereka menjadi kes diabetes yang tidak didiagnosis.”

Beliau berkata bahawa pradiabetik boleh mengelak daripada mendapat diabetes sekiranya mereka mengubah gaya hidup mereka seperti mengamalkan pemakanan yang sihat dan bersenam, serta menguji paras gula darah mereka setiap enam bulan.

A randomized clinical trial to prevent Type 2 Diabetes in persons at high risk – DPP Research Group

Dr. Anuar merujuk kepada kajian Diabetes Prevention Program Research Group di Amerika Syarikat pada tahun 2000 yang mendapati bahawa penurunan sebanyak 58 peratus insiden diabetes berjaya disebabkan menerusi intervensi gaya hidup. Peserta kajian melalui program penurunan berat badan selama enam bulan, yang merangkumi kawalan pemakanan, senaman, kaunseling, serta penyeliaan selepas program. Jika dibandingkan dengan pengunaan ubat metformin, rawatan tersebut hanya berjaya menurunkan berat sebanyak 31 peratus.

Dr. Anuar menekankan bahawa paras glukosa darah yang abnormal selama lima tahun, walaupun tidak semestinya didiagnosis sebagai penghidap diabetes, boleh mengakibatkan masalah seperti serangan jantung.   

“Pesakit yang hadir ke sini dengan serangan jantung tidak mengetahui mereka mempunyai paras glukosa yang abnormal,” kata Dr. Anuar. Beliau juga menyatakan bahawa kekerapan buang air kecil dan kehilangan berat badan yang banyak dan mendadak merupakan tanda lewat diabetes.

Beliau juga mengatakan bahawa pesakit yang hanya mempunyai diabetes jarang ditemui. Walaubagaimanapun, mereka yang mati akibat serangan jantung, semuanya menghidap diabetes.

You may also like