Malaysia Catat Kematian Ke-21 Coronavirus

Mangsa berusia 63 tahun adalah dari kluster perhimpunan tabligh.

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Malaysia telah mencatatkan kematian ke-21 berkaitan Covid-19 hari ini.

Pesakit ke-1,588 merupakan seorang warganegara Malaysia yang beusia 63 tahun. Beliau mempunyai sejarah penyakit kronik dan telah menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling awal bulan ini.

“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat satu (1) lagi pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan,” menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sebuah muatnaik Facebook.

“Beliau telah mula bergejala dan hadir menjalani saringan pada 22 Mac 2020. Hasil ujian pengesahan COVID-19 telah didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 23 Mac 2020. Semasa dalam rawatan, kesihatan beliau merosot dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 4 pagi,” kata Dr Hisham.

Sehingga 12 petang semalam, kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 1,796 kes, termasuk penambahan sebanyak 172 kes semalam. Jumlah yang telah pulih pula adalah sebanyak 199 sehingga semalam.

You may also like