Majikan Larang Pekerja Pembersihan Hospital Teluk Intan Disaring Covid-19

Penyelia Edgenta UEMS memberi alasan bahawa jika pekerja bercuti, tiada pengganti untuk berkerja, kata sebuah kesatuan pekerja.

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pekerja pembersihan Hospital Teluk Intan (HTI) dilarang untuk menjalani saringan Covid-19 oleh majikan mereka, walaupun 37 staf kesihatan telah dijangkiti coronavirus, sebuah kesatuan pekerja berkata.

Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia berkata penyelia Edgenta UEMS telah melarang seramai tujuh pekerja yang melakukan pembersihan HTI daripada melakukan saringan Covid-19.

“Alasan yang diberi oleh [penyelia] adalah sekiranya pekerja disuruh bercuti, tiada pengganti untuk melakukan kerja mereka,” kata M. Saraswathy, setiausaha kesatuan tersebut, dalam sebuah kenyataan.

“Pekerja pembersihan juga adalah salah satu pihak frontliners yang bertungkus lumus melawan Covid-19 tetapi kumpulan ini diabaikan dan tidak diberi kemudahan yang sama seperti frontliners yang lain.”

Saraswathy berkata bahawa hal ini adalah disebabkan oleh kecuaian dan tindakan sambil lewa daripada majikan, Edgenta UEMS, sebuah subsidiari UEM Edgenta yang merupakan ahli kumpulan UEM Group dan dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad, sebuah syarikat berkaitan kerajaan.

“Mengapa timbul keadaan ini di mana pekerja pembersihan tidak langsung diberi perhatian dan kesihatan mereka diabaikan?”

Kesemua 37 staf kesihatan HTI yang positif Covid-19 diarahkan dikuarantin dan sebahagian mereka dihantar ke Hospital Ipoh untuk rawatan selanjutnya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata HTI masih beroperasi seperti biasa, walaupun Jabatan Kecemasan dan wad pemerhatian di jabatan itu ditutup untuk pencucian dan nyah kuman.

Jabatan Kecemasan HTI pada masa ini sedang beroperasi sementara di bangunan unit pesakit luar.

“Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia menyeru Kementerian Kesihatan untuk mengambil tindakan SERTA-MERTA terhadap kecuaian ini,” kata Saraswathy.

Update 3 petang:

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia akan membuat saringan Covid-19 untuk semua staf di HTI, termasuk staf yang memberi perkhidmatan kepada hospital tersebut.

You may also like