Maszlee Tak Sokong Wajib Suntikan Vaksin Kepada Murid

Menteri Pendidikan berkata ia bercanggah hak asasi manusia.

KUALA LUMPUR, 5 Mac — Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata kementerian tidak akan mewajibkan suntikan vaksin untuk kanak-kanak sebagai syarat bersekolah.

Berita Harian melaporkan beliau berkata ini adalah kerana kementerian mahu semua kanak-kanak mendapat pendidikan.

“Kerajaan mengutamakan pendidikan kepada semua kanak-kanak dan tidak akan menutup pintu kepada sesiapa untuk mendapatkan akses pendidikan (formal).

“Kita tidak boleh menutup pintu kita terhadap orang yang ingin belajar kerana itu bercanggah hak asasi manusia,” Maszlee beritahu media hari ini di Serdang.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk hanya membenarkan kanak-kanak yang sudah diimunisasi untuk hadir sekolah.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat peningkatan sebanyak 891.8 peratus dalam kes demam campak (measles) sepanjang lima tahun yang lepas dari tahun 2013 hingga tahun 2018.

Seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tidak menerima vaksin mati di Johor bulan lepas akibat jangkitan difteria.

You may also like