Hadapi Tindakan Jika Abai Anak, KPWKM Beritahu Ibu Bapa

Ibu bapa yang mempunyai masalah komunikasi dengan anak dinasihatkan menghubungi LPPKN.

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyuarakan sokongan terhadap tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang gagal menjaga kebajikan anak-anaknya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Azisman Alias dilaporkan berkata semalam bahawa ibu bapa boleh menghadapi tindakan undang-undang sekiranya anak mereka terlibat dengan aktiviti basikal lajak yang berbahaya.

“Dalam Akta Kanak-Kanak memang sudah ada peruntukan kalau ibu bapa mendedahkan anak kepada risiko seperti ini (basikal lajak) atau terdapat isu pengabaian, ataupun ibu bapa tidak menjaga anak dengan teliti, tindakan boleh diambil,” kata Timbalan Menteri Hannah Yeoh, menurut Bernama.

“Jika ada isu kebajikan kanak-kanak tidak dijaga dengan baik, kami (kementerian) memang menyokong penggunaan Akta ini dikuatkuasakan supaya kebajikan kanak-kanak diambil serius oleh ibu bapa.”

Yeoh tambah bahawa selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, tindakan undang-undang wajar dilaksanakan supaya ibu bapa lebih mengambil berat mengenai kebajikan anak mereka.

Namun begitu, ibu bapa tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana kadang-kadang anak-anak tidak menghormati kata walaupun sudah dimarahi dan diambil tindakan disiplin.

Ibu bapa yang mempunyai masalah komunikasi dengan anak diseru untuk menghubungi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh Malaysia bagi mendapatkan bantuan kaunseling dan kursus keibubapaan.

“Ada ramai yang tidak tahu bagaimana membesarkan anak remaja atau menghentikan ketagihan gajet. Oleh itu, kita perlu memberi kemahiran kepada ibu bapa. Semua masalah sosial selalunya bermula dengan masalah kelemahan di rumah,” katanya.

You may also like