Warga Asing Di Sabah Tunggak Rawatan RM10 Juta

Hospital Lahad Datu mempunyai tunggakan tertinggi bagi tahun 2018 dan 2019.

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Jumlah tunggakan kos rawatan yang gagal dibayar oleh warga asing di Sabah telah melebihi RM10 juta sehingga Ogos tahun ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata.

“Sehingga Ogos 2019, jumlah tunggakan pesakit warganegara asing di negeri Sabah adalah sebanyak RM10,362,597.60. Bagi tahun 2018, tunggakan adalah berjumlah RM14,593,937.66 manakala bagi tahun 2017, jumlah tunggakan adalah sebanyak RM9,656,942.50,” kata beliau dalam sidang parlimen semalam.

Dzulkefly juga berkata bahawa Hospital Lahad Datu mencatatkan tunggakan tertinggi sehingga Ogos tahun ini.

“Bagi tahun 2017, Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Likas merupakan hospital dengan tunggakan tertinggi iaitu sebanyak RM2,940,113.00.”

“Bagi tahun 2018, Hospital Lahad Datu dengan tunggakan RM4,062,775.00 dan sehingga Ogos 2019, tunggakan tertinggi adalah Hospital Lahad Datu dengan jumlah sebanyak RM3,209,558.50.”

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah-langkah untuk menangani isu berkaitan tunggakan pesakit warganegara asing yang datang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti KKM dengan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Luar Negeri.

“KKM juga telah menghubungi kedutaan negara asal pesakit asing untuk mendapatkan kerjasama mereka bagi tindakan-tindakan berikut: urusan mengambil dan menghantar balik pesakit yang di discaj dengan kadar segera atau bagi tujuan menghubungi waris terdekat kepada pesakit; dan mengeluarkan surat pemberitahuan tunggakan warganegara asing untuk disampaikan melalui saluran diplomatik melalui KLN (Kementerian Luar Negeri) kepada negara-negara berkenaan,” tambah beliau.

You may also like