KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Seorang profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meminta orang ramai tidak mengecam dan menyebarkan cerita yang boleh membimbangkan orang ramai, susulan satu tweet berkenaan seorang pesalah pedofilia yang kini menuntut di universiti berkenaan.
Laporan mStar mengatakan profesor tersebut, yang enggan identitinya didedahkan, menyatakan Nur Fitri Azmeer Nordin sudahpun menghabiskan pengajian Masters dengan keputusan cemerlang dan kini berada di tahun kedua pengajian PhD.
“Saya akui dia seorang yang bijak. Saya tak ada masalah pun dengan dia.”
“Saya tak nak korek cerita lama. Saya berpendapat semua orang wajar diberi peluang kedua.”
“Pergaulan dia dengan pelajar lain pun nampak okey. Setakat ini saya tak ada terima laporan negatif pelajar terhadap dia.”
“Selagi tak ada kes baru, saya anggap dia sudah berubah. Manusia suka tengok yang buruk sahaja, apa kata tengok sisi baik pula, ” kata profesor tersebut yang juga merupakan penyelia tesis Nur Fitri.
Ketika ditahan di London, United Kingdom, pada 2015, polis mendapati Nur Fitri, yang juga pemegang biasiswa Mara ketika itu, memiliki 601 buah video dan imej lucah Kategori A.
Kategori A merupakan kategori paling serius dan ekstrim dimana kanak-kanak mengalami penetrasi seksual. Nur Fitri juga mempunyai bahan pornografi kanak-kanak kategori B dan C.
Secara keseluruhan, polis UK telah menemui lebih daripada 30,000 imej dan video pornografi kanak-kanak dalam peralatan elektronik peribadinya.
Nur Fitri kemudiannya didakwa dan dihukum penjara selama sembilan bulan di London.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2009, Nur Fitri meneruskan pelajarannya di salah sebuah kolej persediaan antarabangsa di Malaysia sebelum ditawarkan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melanjutkan pelajaran di Imperial College, London dalam jurusan Matematik.