Doktor Gurau Suruh Pesakit Depresi Cucuk Leher Dengan Pisau

Kementerian Kesihatan Malaysia berkata mereka akan menyiasat insiden tersebut di klinik kesihatan di KL.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Seorang lelaki berumur 25 tahun yang menderita depresi dan anzieti, kecewa apabila doktor yang merawatnya di sebuah klinik kesihatan di Kuala Lumpur seolah-olah tidak mengambil serius keadaannya.

Dalam satu ‘thread’ di akaun Twitter, lelaki yang menggunakan nama pengguna ‘itsmejoker’ itu berkongsi pengalaman tentang layanan sambil lewa yang diterima oleh doktor tersebut, walaupun hasil ujian DASS (depression anxiety stress scales) semalam menunjukkan “very severe” (sangat teruk) untuk anzieti dan kemurungan.

https://twitter.com/amnfdhl__/status/1164086106410774529

Beliau bercerita pasal terjaga tengah pagi, dada degup laju, sakit dada, tak boleh tidur, kadang-kadang tidur lambat, dan tak ada keyakinan diri.

“Then dia cakap jangan banyak berfikir, depress anxiety ni semua nonsense je,” lelaki tersebut berkata tentang apa yang diberitahunya oleh doktor dari klinik kerajaan.

Lelaki tersebut berkata apabila dia mengambil pisau ketika menghadapi tekanan, doktor tersebut menyarankannya agar jangan buat kerja bodoh sambil mengambil sekeping kertas dan melibas-libas di muka pesakit itu.

Malah, ketika dia bertanya apa yang perlu dilakukan jika situasi sama berulang, doktor itu dengan selamba bergurau, “Ambil pisau cut your hand”.

“Aku cakap la memang kadang macam tu kalau dah tak tahan, then dia cakap ‘ambik pisau cucuk leher’. Kalau buat sikit-sikit takde apa-apa nanti, then lepas tu dia cakap ‘sorry saya gurau je’.”

Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial yang meminta dia agar terus kuat dan menyarankan agar merujuk kepada doktor lain.

Mereka juga berkongsi rasa kesal kerana ada dalam kalangan pengamal perubatan sendiri yang tidak peka dengan masalah depresi dan kemurungan.

Kementerian Kesihatan Malaysia memberitahu grup media WhatsApp hari ini bahawa mereka akan menyiasat insiden tersebut.

You may also like