KUALA LUMPUR, 25 Julai — Pengusaha kedai makanan India Muslim menggesa kerajaan untuk mewujudkan zon merokok yang terkawal kerana bisnes jatuh akibat larangan merokok di tempat makan.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memberitahu The Malaysian Insight bahawa purata pendapatan ahlinya merosot sampai 30 peratus sejak larangan merokok dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu di tempat makan di seluruh negara.
“Pelanggan yang melepak sudah kurang. Kerajaan perlu pertimbang kita sediakan ruangan merokok… kena timbang balik.
“Sekarang, margin (untung) kurang (tetapi) kos tidak kurang dan kita kena bayar pekerja sama saja,” presiden Presma Ayoob Khan Muhammad dilaporkan berkata.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan bahawa 20 peratus kedai kopi, atau lebih daripada 2,000 kedai, gulung tikar dalam enam bulan yang lalu kerana larangan merokok menyebabkan bilangan pelanggan yang rata-ratanya perokok jatuh, menurut Malaysia-Singapore Coffeeshop Owners’ Association.