KUALA LUMPUR, 13 Mac — Mahkamah Tinggi di Kuching mengarahkan hari ini pemeriksaan mental untuk seorang lelaki yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana menghina agama Islam di Facebook.
Free Malaysia Today melaporkan bahawa arahan supaya Alister Cogia, 22, menjalani pemerhatian selama sebulan di Hospital Sentosa di Kuching dibuat selepas permohonan untuk semakan oleh peguam PKR semalam.
“Kami akan kembali pada 16 April untuk melihat jika ada keperluan meneruskan pendengaran.
“Jika dia terbukti tidak sihat dari segi mental, maka tidak perlu dipertikaikan sabitan dan hukuman,” peguam dan Adun Batu Lintang See Chee How dilapor berkata.
Hukuman penjara 10 tahun dan denda RM50,000 untuk penghinaan agama Islam dan Nabi Muhammad di Facebook telah mengundang kritikan daripada aktivis yang berpendapat hukuman tersebut adalah terlalu berat.
Ibu Alister dilaporkan berkata bahawa anaknya telah menunjukkan tanda sakit mental sejak kecil lagi.