Penganalisa: Sedia Bisnes Alternatif Kepada Peniaga Vape Bumiputera

Penganalisa ekonomi kata perniagaan penjual vape yang majoriti bumiputera akan terjejas dengan pelaksanaan cukai.

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Kerajaan perlu berfikir untuk menyediakan perniagaan alternative kepada penjual vape yang majoriti terdiri daripada bumiputera, kata penganalisa ekonomi.

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kepada Sinar Harian bahawa sebarang pengenaan cukai ke atas rokok elektronik hanya akan menjejaskan majoriti peniaga vape yang terdiri daripada kaum bumiputera.

“Ini dilemanya, kerajaan akan selamatkan satu pihak tetapi satu pihak lain akan menerima impak berlainan pula.

“Oleh itu, apa yang sepatutnya difikirkan juga oleh kerajaan, bagaimana untuk menyediakan bentuk perniagaan alternatif kepada bumiputera ini agar mereka boleh beralih daripada menjual vape kepada sektor perniagaan lain yang boleh menjana pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian semalam,” ujar Ahmed.

Ahmed juga berkata bahawa jika kerajaan tidak mengambil kira faktor itu, peniaga bumiputera pasti menentang kerana mereka menguasai pasaran dan akan melihat kerajaan seolah-olah “mengenakan” mereka.

“Oleh itu, kerajaan harus melihat perkara ini secara menyeluruh dan penekanan lain yang harus diberikan juga adalah tentang penjelasan bahaya vape kepada kesihatan orang awam.

“Ia perlu diperhebatkan lagi kerana ketika ini, ramai beranggapan vape tidak bahaya, malah peniaga juga kata tiada bukti tentang dakwaan itu,” katanya.

Ahmed berpendapat bahawa untuk menangani isu pelajar sekolah terjebak dengan penggunaan vape, kerajaan perlu bertindak secara menyeluruh, bukan hanya melalui pada penguatkuasaan undang-undang serta pelaksanaan cukai semata-mata.

Kementerian Kesihatan Malaysia sedang kaji kemungkinan mengharamkan produk vape dan rokok elektronik sepenuhnya.

You may also like