Orang Besar Dan Orang Kecil Di KKM — Dr Hakeem

Seorang doktor berkata, amat hairan bagaimana WBB dirangka oleh pegawai-pegawai kayangan. “Tanggungjawab perlu diletakkan kepada semua yang berada pada gred utama JUSA atau KHAS yang sedang duduk selesa sehingga terlena kepada personal gain and glory.”

The Doctor’s Dilemma oleh George Bernard Shaw yang pertama kali dipentaskan pada tahun 1906.

Drama terbaru oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah Waktu Bekerja Berlainan (WBB). Terima kasih kepada media sosial dan kumpulan yang hebat membangkitkan perkara ini. Jika tidak, ianya akan dipendamkan dan dipaksa rela begitu sahaja.

Walaupun WBB ini telah dibatalkan oleh jemaah menteri, namun ianya menyerlah karakter sebenar satu profesion yang amat dihormati, dengan majoriti adalah daripada pelajar-pelajar terbaik SPM.

Perbincangan dan interaksi sesama profesion di atas platform media sosial amat-amat selfish, self-centred, dengan menumpukan kepada kepentingan masing-masing.

Hanya disebabkan pertikaian berkaitan WBB, perkara-perkara yang tidak berkaitan disentuh, diperbesarkan sehingga mengundang ketidakharmonian di dalam profesion itu sendiri.

Antara contohnya mengkategorikan doktor-doktor, pertikaian kelayakan elaun kritikal dan lain-lain lagi.

Seperti nasihat Imam Syafie agar tidak berdebat dengan orang yang jahil. Ini adalah kerana setiap perdebatan perlu ada ASAS dalam perdebatan tersebut.

Sepanjang insiden ini berlaku di dalam beberapa hari ini menuntut agar setiap anggota profesion ini mengambil tahu sejarah profesion kedoktoran di negara ini.

Adakah anda tahu mengapa anda layak dipanggil doktor atau doktor pakar dan apakah punca kuasanya?

Adakah anda tahu sejarah elaun kritikal yang hanya bermula kurang lebih RM16 dan di perjuangkan oleh semua doktor di setiap lapisan walaupun beberapa kali cuba dibatalkan?

Adakah anda tahu pada penghujung 1990an profesion ini hampir kehilangan jawatan strategik fasiliti di peringkat daerah dan negeri?

Semua doktor di setiap peringkat sama ada pejabat kesihatan, hospital dan jabatan kesihatan bersama-sama mempertahankan yang membolehkan jawatan tersebut masih kekal milik profesion kita.

Noktahkanlah pertikaian dan perbandingan ini di dalam profesion kita untuk apa-apa dugaan pada masa akan datang.

Wahai rakan profesion, jangan lagi dipertikaikan peranan profesion di mana-mana peringkat, jika berlaku lagi krisis melanda. Dengan Alma-Ata Declaration of 1978 (Primary Health Care dan Disease Prevention) adalah sasaran utama World Health Organization (WHO).

Melalui program-program inilah pembentukan justifikasi kuat untuk melaksanakan elaun, pengwujudan penjawatan, dan pembanguan fasiliti dapat di perjuangkan.

Dengan kekuatan primary health care ini, secondary care dan tertiary care dapat diperkembangkan dan diperkasakan.

Dengan pembatalan WBB ini perlu diambil peluang untuk reset semula yang rahsianya masih terpendam. Pada suatu masa dahulu kita ada ramai champion yang sanggup dan berani bersuara untuk kelangsungan kepentingan program teknikal dan profesion tanpa mengharap sesuatu serta sanggup menghadapi akibat daripada tindakan tersebut.

Kumpulan pengurusan tertinggi teknikal profesion ini sepatutnya harus dipastikan hebat dari segi ilmu dan kaya pengalaman untuk memberi nasihat dan kawalan kepada kumpulan pengurusan tertinggi (pentadbiran) serta jemaah Menteri agar dapat MENGIMBANGI ke atas setiap tindakan atau keputusan yang buat oleh mereka.

Merujuk kepada satu buku tulisan Hamka:

  • Para Nabi dan Rasul diberi iman dalam melaksanakan tugas.
  • Manusia perlu akal untuk memimpin.
  • Akal (pernah merasai, melalui nya dan bermimpi tentangnya).
  • Akal akan membawa Mahabbah, maka wujudlah keadilan membawa kepada timbulnya belas-kasihan menimbulkan kebajikan dan pengorbanan.
  • Inilah jiwa ketua dan pengurusan tertinggi yang kita perlukan.

Apabila seseorang itu berakal secara automatik, mereka telah didedahkan, telah arif, dan telah mengkaji sejarah setiap program yang telah dan akan dilaksanakan.

Confucius once said: “If one wants to run, one must learn to walk. If one wants to teach, one must learn. To define the future, one must study the past.”

Dengan kekurangan dua ciri di atas akan menerbitkan the Dunning–Kruger effect.

Ini yang menyebabkan mereka tidak dapat membuat keputusan yang tepat dan lebih kepada syok sendiri yang paling penting untuk menonjolkan diri kepada orang atasan untuk naik dengan lebih cepat ke jawatan tertinggi.

Pegawai dan kakitangan di bawah akan menjadi batu loncatan sahaja.

Kebanyakan mengambil idea-idea atau program lama yang telah gagal untuk dipaksa dilaksanakan.

Membentuk indikator sendiri diperingkat lapangan serta ada menambah syarat kepada perkara mereka minat dalam sistem pemarkahan.

Semua penjawat awam adalah terlatih tugasan di dalam penjawatan yang ditawarkan. Namun begitu, terdapat arahan tertentu untuk menambah skop penilaian yang tiada kaitan dengan penjawatan asal mereka yang perlu dilihat semula.

“Everybody is a genius. But if you judge a fish by its ability to climb a tree, it will live its whole life believing that it is stupid.”

Jika ada apa-apa isu dan tugasan, ayat paling popular diminitkan oleh pengurusan tertinggi di peringkat negeri dan ke atas adalah “Sila semak perkara ini, sila kaji, dan buat ulasan.”

Akibatnya, apa-apa kesilapan pegawai bawahan yang disalahkan dan tidak cekap.

Sekiranya berlalu isu rentetan daripada ulasan tersebut melibatkan pengurusan lebih tinggi: “saya telah diberi nasihat yang salah oleh pegawai saya.”

Sebagaimana kata-kata Prof Dr Siddiq Fadzil di satu forum bersama Sinar Harian, kalau tak silap, begini bunyinya: “..kena betulkan cara pengangkatan pemimpin…Mekanisme tidak mampu mengangkat pemimpin terbaik…yang terangkat adalah pemimpin yang bermasalah…Mekanisme ini dinamakan enjit-enjit semut – enjit-enjit semut siapa sakit naik atas…”

Dengan kata lain, yang sihat-sihat tinggal di bawah sahaja.

Mencari iktibar berlakunya krisis WBB ini, berapa perkara perlu dilaksanakan untuk benar-benar membuat reformasi dalam profesion ini.

Pertama: Reformasi kepada kaedah pelantikan ke jawatan utama dan pengurusan tertinggi profesion pegawai perubatan. Lantikan perlu mengutamakan pegawai yang berilmu dan berpengalaman, terutamanya mereka yang rekod bertugas dari peringkat bawah dan lapangan.

Oleh kerana sistem pemilihan kenaikan pangkat di KKM boleh “jump the queue” secara tidak sedar mereka yang telah bercita-cita untuk mendapatkan jawatan tersebut memang telah ada personality triad yang ambious walaupun kekurangan ilmu dan pengalaman tetapi dikurniakan special skills merapatkan diri, menonjolkan diri dan menceritakan kehebatan diri (saya, saya, saya) kepada ketua yang ada kuasa melantik ke jawatan utama. Untuk menjadikan diri ini hebat adalah amat-amat sukar, kadangkala competitors perlu direndah-rendahkan.

Sebab itu terdapat kata-kata nakal di kalangan warga kesihatan apabila diumumkan perlantikan seseorang ke jawatan utama ulasan mereka adalah:
Lebih 20 tahun dahulu — ”Oh doktor tu, kenal sangat dia ni pernah buat program.”
Selepas era di atas — ”Ish, siapa doctor ni, macam tak pernah dengar pun nama…”
Akhir-akhir ini — “…bukan dia ni ada problem ke dulu…”

Merujuk kepada laporan, amat hairan bagaimana WBB ini dibentuk dan dirangka oleh pegawai-pegawai di peringkat kayangan dan bukannya oleh middle manager dan pegawai-pegawai yang terkesan.

Tanggungjawab perlu diletakkan kepada semua yang berada pada gred utama JUSA atau KHAS yang sedang duduk selesa sehingga terlena kepada personal gain and glory.

Kedua: Perlu kajian semula program-program yang bertindih.

Dengan lantikan kejawatan utama JUSA dan KHAS daripada mereka yang kurang berpengalaman daripada peringkat bawah, mereka secara defence mechanism hendak membuktikan mereka layak dilantik.

Ada juga mereka yang berhasrat kononnya hendak meninggalkan legasi mereka di tempat tersebut.

Sekiranya tugasan yang dilaksanakan mengikut amalan tradisional sistem perubatan, walau bagaimana sibuk dan beratnya beban kerja, setiap anggota telah bersedia kerana sistem latihan di sekolah perubatan adalah sama dengan suasana kerja sebenar.

Ini bukan bermakna kita tidak mahu meningkat budaya kerja.

Isu akan timbul apabila ketua yang diangkat tiada pengalaman tidak dapat membezakan antara advance in service or specialty and skill dengan membentuk program baru yang sebenarnya gerak kerja yang sama dengan program yang telah ada ataupun telah gagal.

Contoh, di peringkat negeri, program dan dasar daripada KKM telah jelas, namun masih lagi membentuk program yang sama tetapi konon nya atas atas idea dia.

Kakitangan dan sistem terbeban kerana terpaksa melaksanakan kerja yang sama dengan pertambahan indikator, reten dan masa bekerja tetapi menghasilkan output yang sama.

Terdapat juga pewujudan program rentas program hospital ke lapangan dan seperti di atas merupakan program yang sama.

Beban ini yang perlu diberi perhatian kerana pembentukan program-program ini cuma hanya batu loncatan kepada jawatan utama atau golongan pakar yang going for personal glory dan dalam masa yang sama mempunyai kuasa ke atas pegawai bawahan untuk terus dilaksanakan.

Dengan terdapatnya jawatan utama seperti JUSA dan KHAS perlu direbut dan boleh “jump the queue”, program-program yang bentuk seolah-olah untuk menjaga kepentingan pegawai yang bercita-cita dan bukan kepada perkhidmatan atan klien.

Sehingga terdapat program-program dilaksanakan diluar waktu pejabat atau cuti dengan dijenamakan sebagai “gotong-royong” agar kakitangan yang terlibat tidak perlu dibayar.

KKM juga perlu memastikan fokus kepada peranan kementerian dan tidak mencampur aduk kan dengan perkara-perkara di dalam senarai lapan domian berkaitan prerequisite of health di bawah kementerian dan agensi lain.

Ketaksuban membentuk program dengan harapan untuk dijual kepada kementerian lain. Dalam proses tersebut sistem dan kakitangan turut terbeban.

Syarikat membentuk program atau produk untuk meningkatkan profit. Dengan profit bonus boleh dibayar kepada kakitangan.

Kementerian apabila menambah program, ianya menambahkan beban. Dalam pada masa yang sama kerajaan hanya dapat menawarkan syurga kepada mereka yang berapa di pengurusan tertinggi dan jawatan utama. Bagi mengejar syurga orang bawahan dipamerkan dengan neraka.

Akhirkan kata, diharapkan culture di bawah ini dapat dibuang daripada KKM iaitu seperti petikan puisi KH A Mustofa Bisri Orang Kecil, Orang Besar yang kami olah:

“Orang Besar jujur tak jujur makmur, benar tak benar dibenarkan, zalim tak zalim dibiarkan, Orang Besar tolol dibilang jujur, Orang Besar boleh berbicara semuanya, Orang Besar merampas hak disebut pendekar, Orang Kecil jika ikhlas diperas, jika jujur dibilang tolol, paling-paling jauh dibicarakan, Orang Kecil berani dikata kurang ajar.”

Dan kepada mereka yang mempunyai kuasa, ingatlah pesanan ini:

“Setiap orang di setiap lapisan ada keutamaan pada diri mereka, di dalam mengejar keutamaan diri diharapkan berlaku adil untuk semua orang. Keutamaan ialah satu kesenian, Di dalam mencapai kebahagian diri sendiri, dengan jalan membahagiakan orang lain.” — Leibnitz.

“Dr Hakeem” ialah nama samaran untuk seorang doktor perubatan di sebuah institusi KKM. CodeBlue memberi penulis kerahsiaan oleh sebab penjawat awam tidak dibenarkan menulis kepada pihak media.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like