Doktor Gadai Emas, Keluar ASB Demi Pindah, Khidmat Di Sabah

Seorang pegawai perubatan umur 30 tahun terpaksa menggadaikan emas dan mengeluarkan simpanan ASB untuk membiayai kos perpindahan ke Sabah. Pegawai perubatan, pergigian, dan farmasi kontrak yang dilantik tetap tahun ini tidak layak tuntutan bertukar pindah.

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Beberapa pegawai perubatan telah menggadaikan emas dan membuat pengeluaran akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) mereka bagi membiayai kos perpindahan ke negeri Borneo untuk lantikan tetap menjelang hujung bulan ini.

Dalam mesyuarat pada 20 Julai lalu, Bahagian Sumber Manusia (BSM) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa pegawai perubatan, pergigian, dan farmasi yang menerima jawatan tetap pada tahun ini tidak layak untuk membuat tuntutan bertukar pindah.

“Tidak layak tuntutan bertukar pindah memandangkan tempoh perkhidmatan pegawai adalah terputus daripada kontrak ke tetap,” berdasarkan slaid pembentangan mesyuarat BSM yang dilihat oleh CodeBlue.

Selain tidak layak untuk tuntutan perpindahan, doktor perubatan, doktor gigi, dan ahli farmasi kontrak yang menerima lantikan tetap dalam sektor penjagaan kesihatan awam juga “tidak layak tuntutan lapor diri bagi pertukaran kali ini dengan mengambil kira sama ada pegawai telah membuat tuntutan terdahulu atau pun tidak”.

Lebih 4,100 pegawai perubatan kontrak di seluruh negara – yang terlibat dalam penempatan semula menjelang 31 Julai untuk lantikan tetap – telah bekerja dengan KKM selama empat hingga tujuh tahun; mereka bukannya staf yang baru bekerja dengan kerajaan.

Dr Liza (nama samaran) – pegawai perubatan gred UD43 yang kini bekerja di sebuah klinik kesihatan di Kuala Lumpur – perlu melapor diri di salah satu daerah di Sabah menjelang hujung bulan untuk pelantikan tetap beliau. 

Beliau tidak memohon untuk ditempatkan di Lembah Klang kerana kekurangan penjawatan, namun KKM tetap menolak permohonan beliau untuk ditempatkan di negeri lain di Semenanjung.

Doktor berusia 30 tahun tersebut – yang bermula sebagai pegawai perubatan siswazah pada tahun 2019 – berkata bahawa beliau tidak mengetahui klinik kesihatan yang akan ditempatkan kerana masih belum mendapat surat pelantikan; hanya daerah penempatan yang beliau akan bertugas.

“Saya hanya akan tahu apabila saya di sana”, ujar Dr Liza, yang tidak mahu namanya didedahkan kerana perintah sekatan (gag order) sebagai penjawat awam, kepada CodeBlue baru-baru ini.

KKM hanya membuka permohonan penempatan untuk pegawai perubatan yang menerima jawatan tetap melalui sistem eHousemen kurang dua bulan lepas, dalam lima fasa bermula 9 hingga 24 Jun.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sebelum ini menyatakan dalam jawapan bertulis di Dewan Negara pada bulan April bahawa, “Berhubung aspek kebajikan, pegawai yang diarahkan bertukar layak menerima elaun dan kemudahan tertentu. Antaranya ialah tambang perjalanan, tambang pengangkutan barang, elaun makan dan bayaran sewa hotel untuk tempoh tiga hari sebelum dan lima hari selepas perpindahan serta kemudahan lain.”


Sekurang-kurangnya RM5,000 Anggaran Kos Perpindahan Ke Sabah

Kuala Lumpur International Airport. Picture dated July 2, 2020 by Boo Su-Lyn.

Dr Liza menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya RM5,000 diperlukan untuk menampung kos perpindahan beliau daripada pusat bandar ke Sabah, termasuk kos penerbangan kargo sebanyak RM2,000 untuk membawa kereta; RM400 untuk tiket penerbangan; sewa rumah yang boleh menelan belanja RM1,000 sebulan untuk flat dua bilik (tuan rumah mungkin akan meminta deposit sewa sehingga lima bulan); serta kereta sewa harian RM120 dengan kos termurah dan penginapan, sebelum beliau berpindah ke rumah sewa.

Beliau juga berkata yang beliau dimaklumkan bahawa tidak ada kekosongan di perumahan kerajaan di daerah di mana beliau ditempatkan itu.

“Saya dan rakan [pegawai perubatan] gadai emas serta keluarkan simpanan ASB”, ujar Dr Liza kepada CodeBlue.

Beliau berkata bahawa beliau mendapat kira-kira RM3,000 dengan gadaian emas dan mengeluarkan RM1,000 daripada akaun ASBnya. Dr Liza juga menyediakan kad kredit sebagai persiapan.

Honestly, saya menunggu gaji. Ia sangat memalukan, tapi ia realiti. Kawan [pegawai perubatan] saya, akaun bank hanya RM30 tinggal.”

Menurut Dr Liza, dua ke tiga orang rakan wanita beliau yang dalam awal 30an – yang turut menggadaikan emas dan mengeluarkan ASB mereka – juga merupakan pegawai perubatan yang bekerja di Lembah Klang yang menerima penempatan di Sabah untuk jawatan tetap mereka.

Dr Liza mengatakan bahawa gaji bersih beliau adalah kira-kira RM4,000 sebulan. “Nama ‘doktor’, tapi sebenarnya B40”.

Pegawai perubatan tersebut akan berpindah ke Sabah secara sendirian; beliau dan suaminya belum mempunyai anak.

“Saya nak tinggal di KL sebab ibu bapa saya ageing; ibu saya jatuh dan kaki dia cedera; ada kesukaran. Saya ada ahli keluarga OKU,” ujar Dr Liza.

“Tapi saya tahu ada orang lain yang lebih teruk. Kawan saya ke Sabah, dia ada anak umur tiga tahun dengan speech delay, tapi terpaksa pindah. Dia kena tinggalkan anak dengan suaminya di KL.”

Dr Liza juga memberitahu bahawa ada beberapa pegawai perubatan yang ditempatkan di Sabah atau Sarawak menolak tawaran jawatan tetap kerana masalah kewangan atau isu keluarga. “Ada nak resign”.


BSM: Tidak Memilih Penempatan Bermakna Tidak Layak Untuk Pertimbangan Lantikan Tetap Pada Masa Hadapan

Slaid pembentangan BSM daripada mesyuarat 20 Julai memperincikan jumlah pegawai perubatan, pergigian, dan farmasi berstatus kontrak yang dilantik tetap pada tahun ini: pegawai yang memilih penempatan 6 hingga 24 Jun, pegawai yang menolak tawaran lantikan tetap, dan pegawai yang tidak memilih penempatan.

Kesan tidak memilih penempatan: “Tawaran pelantikan tetap terbatal; pelantikan pegawai kekal secara kontrak; tidak layak dipertimbangkan untuk lantikan tetap dalam urusan akan datang; penempatan dikekalkan di penempatan sedia ada melainkan diarahkan bertukar oleh Ketua Jabatan,” menurut BSM dalam slaid pembentangan mereka.

Untuk pegawai yang ingin menangguhkan tarikh lapor diri untuk bertugas, tarikh kuatkuasa notis pemendekan tempoh kontrak mereka perlu diselaraskan oleh ketua jabatan daripada 30 Julai 2023 ke sehari sebelum pegawai tersebut melapor diri untuk bertugas sebagai lantikan tetap, atau sehari sebelum pegawai tersebut diluluskan untuk penangguhan.

“Ketua Jabatan juga perlu memastikan pegawai hadir bertugas di jabatan asal sepanjang tempoh penangguhan yang diluluskan oleh jabatan baharu,” menurut slaid BSM itu.

BSM juga berkata: “Gaji permulaan pelantikan tetap akan ditetapkan oleh Ketua Jabatan berdasarkan gaji akhir yang diterima dalam kontrak terakhir, tertakluk gaji tersebut adalah teratur. 

“Sekiranya timbul ketidakaturan berhubung gaji akhir kontrak terakhir, Ketua Jabatan baharu boleh membuat pelarasan yang sewajarnya setelah mendapat maklumat yang lengkap dari jabatan asal pegawai.”

Artikel ini adalah terjemahan artikel asal bertajuk, “Government Doctors Pawn Gold, Withdraw ASB To Cover Transfer Costs”, yang disiarkan oleh CodeBlue pada 22 Julai lalu.  

You may also like