Bersara Awal: Pekerja Produktif Mungkin Jadi Nyanyuk, Murung

Kerajaan disarankan mengambil contoh negara Barat.

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Penyakit nyanyuk dan kemurungan adalah antara risiko yang boleh dialami oleh pekerja produktif yang bersara pada usia awal, seorang pakar psikologi berkata.

Pakar psikologi pekerjaan dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Awang Idris memberitahu Sinar Harian bahawa masalah kesihatan yang berlaku kepada pekerja akan meninggikan kos untuk mendapatkan rawatan dan perubatan, dan akan membebankan kerajaan.

“Generasi pada hari ini berbeza dengan dahulu kerana kebanyakan menggunakan pemikiran dan bukan fizikal. Ini menyebabkan mereka ini masih layak untuk bekerja,” katanya.

Dr Mohd Awang mencadangkan bahawa Malaysia mengambil contoh negara barat di mana pekerja usia lanjut masih berkerja, tetapi gaji mereka adalah separuh daripada yang pernah mereka dapat dan waktu mereka bekerja juga singkat.

“Jadi kepakaran yang ada dalam golongan ini akan terus digunakan dan mereka tidak merasakan diri mereka ini tidak berguna lagi serta lebih dihargai. Saya fikir adalah pendekatan yang terbaik yang boleh dilaksanakan di Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa kerajaan Malaysia berhasrat untuk meneliti cadangan menaikkan had umur bersara pekerja daripada 60 kepada 65 tahun ekoran cadangan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Walau bagaimanapun, cadangan ini telah ditolak oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa tiada keperluan bagi had usia persaraan sedia ada dilanjutkan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga sebelum ini menyatakan bahawa tindakan untuk meningkatkan usia persaraan akan menghindari golongan belia daripada mengisi jawatan.

You may also like