Simptom Susulan Covid (Long Covid): Krisis Kesihatan Awam yang Akan Datang

Kita masih tidak memberi amaran yang sewajarnya kepada orang ramai mengenai Simptom Susulan Covid.

Diterjemah dan diadaptasi dari Bahasa Inggeris oleh Dr Syed Hadi Arief, doktor pelatih perubatan keluarga di United Kingdom (UK). Artikel asal dalam Bahasa Inggeris pertama kali diterbitkan oleh Harvard Public Health Review pada Mei 23, 2021 boleh didapati di sini

Saya mengikuti perkembangan berkaitan Covid-19 di UK, tempat tinggal saya sekarang, dan di Malaysia, tanah air yang tercinta, dengan penuh perhatian. Sejajar dengan kejayaan UK untuk meningkatkan kadar vaksinasi, Kerajaan UK melonggarkan sekatan berkurung lockdown pada Mei 17, 2021 dengan perancangan untuk mengangkat semua sekatan pada akhir bulan Jun.

Awal tahun ini, Malaysia telah mengisytiharkan darurat, dan telah memasuki fasa lockdown ketiga atau Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) di beberapa negeri di Malaysia sebelum mengumumkan MCO di seluruh negara dari Mei 12 hingga Jun 7.

Di Oxford, penunjuk perasaan berkumpul menyebarkan berita palsu kepada orang awam bahawa ‘Covid-19 adalah rekaan semata-mata’. Di Malaysia, keraguan vaksin menyebabkan Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi membuatkan pendaftaran vaksinasi AstraZeneca atas talian sebagai pilihan individu.

Ini membolehkan orang ramai mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi tanpa mengira usia mereka, yang dengan secara tidak sengaja menyisihkan warga emas, mereka yang mempunyai penyakit komorbid, dan mereka dari status sosioekonomi rendah tanpa akses internet, walaupun mereka masih mahu menerima vaksin AstraZeneca.

Slot vaksinasi ini diisi secepat tiga jam. Laman media sosial penuh dengan rasa tidak puas hati warga Malaysia terhadap sistem pendaftaran dan jumlah slot yang ditawarkan. Fasa kedua vaksinasi AstraZeneca pada Mei 26 hanya dibuka untuk warganegara 60 dan ke atas. Saya ulas topik ini dalam artikel saya dengan Dr Swee Kheng Khor pada Jun 8 yang diterbit oleh The Edge Weekly.

Pada bulan April, 65 ahli parlimen dan peers dari semua parti di UK telah mendesak Perdana Menteri Boris Johnson untuk mengambil kira keperitan hidup yang disebabkan oleh Simptom Susulan Covid yang tidak menerima tumpuan yang sewajarnya pada arus pertama dan kedua pandemik, walaupun Menteri Kesihatan ketika itu, Matt Hancock, mengesahkan dan memperakui kewujudan dan beban yang disebabkan oleh Simptom Susulan Covid pada November 2020.

Sebaliknya di Malaysia, tiada maklumat mengenai Simptom Susulan COVID dan statistik mengenai kelazimannya di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut Dr Christopher Lee, Penasihat Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia, “Kita masih tidak mempunyai maklumat yang cukup mengenai Simptom Susulan Covid. Tetapi sebilangan pesakit pasca-Covid-19 ini mendapat rawatan dan pemerhatian susulan daripada pakar perubatan yang relevan seperti doktor pakar respiratori, doktor pakar neurologi, dan sebagainya.”

Pelan sembarangan kedua-dua negara dalam melaksanakan pengawalan pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang menghairankan (ah, ahli politik!), tetapi kedua-dua negara, terutama Malaysia, telah gagal mengambil kira kesan Simptom Susulan Covid yang menyeluruh yang bukan sahaja melibatkan beban terhadap pesakit dan keluarga mereka, tetapi juga terhadap ekonomi negara.

Menurut World Health Organization (WHO), Simptom Susulan Covid adalah gejala-gejala Covid-19 yang berpanjangan. Satu perempat dari pesakit pasca-Covid-19 akan terus mengalami gejala-gejala selama sebulan, dengan satu dari 10 pesakit terus menderita dengan gejala-gejala ini untuk lebih dari 12 minggu.

Gejala-gejala Simptom Susulan Covid boleh menyebabkan penderitaan yang melampau terhadap individu; gejala-gejala ini termasuklah kelesuan, sakit otot, sesak nafas, kecelaruan otak (cognitive dysfunction) dan kelemahan sistem autonomi badan yang boleh menyebabkan tekanan darah yang rendah dan kadar degupan jantung yang tinggi (postural orthostatic tarchycardia syndrome).

Warga frontliner dan wanita terutamanya mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami Simpton Susulan Covid. Menurut WHO dan Davis et al. (2021), kebarangkalian untuk mengalami Simptom Susulan Covid tidak bergantung kepada keparahan jangkitan Covid-19.

Tetapi, kita masih tidak memberi amaran yang sewajarnya kepada orang ramai mengenai Simptom Susulan Covid. Kita masih hanya memberi fokus terhadap kadar kematian Covid-19 tetapi tidak mengambil kira kesan jangka panjang seperti kehilangan upaya individu and kualiti hidup yang rendah disebabkan oleh Simptom Susulan Covid.

Persamaan antara Simptom Susulan Covid dan myalgic encephalomyelitis (ME) tidak dapat dinafikan. ME adalah penyakit yang kompleks dan kronik yang menjejaskan pelbagai sistem badan.

Menurut Davis et al. (2021) dan Décary et al. (2021), ciri utama yang mungkin dialami oleh pesakit kedua-dua penyakit ini adalah kelesuan pasca aktiviti fizikal atau mental (post-exertional malaise – PEM), di mana aktiviti-aktiviti yang menggunakan tenaga minimal seperti menggosok gigi atau membalas e-mel boleh merundumkan kesihatan pesakit pada 24 hingga 72 jam pasca aktiviti, dalam bentuk peningkatan tahap kelesuan dan gejala-gejala lain, seperti kecelaruan otak yang boleh berlarutan selama berhari-hari, berminggu-minggu ataupun berbulan-bulan.

Menurut Dr Charles Shepherd, penasihat ME Association UK, kira-kira 10 peratus pesakit Simptom Susulan Covid mengalami kelesuan seperti pesakit ME berdasarkan pemahaman kita mengenai simptom susulan jangkitan virus sebelumnya seperti wabak SARS pada tahun 2002.

Wanita adalah 1.5-2 kali lebih cenderung untuk mengalami penyakit ME berbanding lelaki. Kita masih tidak faham mengapa hanya sebilangan pesakit dan tidak semua pesakit menghadapi Simptom Susulan Covid selepas jangkitan Covid-19, seperti mana kita masih tidak faham mengapa hanya sebilangan pesakit mengalami ME selepas jangkitan virus.

Namun begitu, persepsi mengenai ME berbeza di seberang lautan Atlantik berbanding di United Kingdom. Di Amerika Syarikat, universiti-universiti terulung dunia seperi Harvard dan Stanford dengan kerjasama The Open Medicine Foundation menumpukan penyelidikan mereka untuk memahami faktor biologi di sebalik ME.

Di UK, pengiktirafan ME sebagai penyakit fizikal yang melibatkan pelbagai sistem badan yang serius masih diperjuangkan oleh persatuan-persatuan pesakit ME dan penyelidik-penyelidik biologi ME seperti The Morten Group Oxford sejak 30 tahun lagi.

Ini adalah kerana, malangnya, persepsi bahawa pesakit ME mampu menyembuhkan ME dengan sekadar menukarkan pemikiran dan pandangan hidup mereka masih tular di dalam sistem perubatan UK.

Dalam dua artikel saintifik oleh White et al. (2007) dan De Gucht et al. (2017), pengarang-pengarang artikel tersebut menyatakan bahawa “kepercayaan pesakit mengenai ME” dan “penglibatan mereka dalam persatuan-persatuan pesakit ME” mampu menjejaskan kesihatan pesakit mereka.

Malah, George Monbiot, seorang wartawan Inggeris, telah dipersalahkan sebagai punca wabak Simptom Susulan Covid di UK kerana “membicarakan penyakit ini” dalam artikel Guardian beliau oleh salah seorang penyelidik yang berkeras dengan idea bahawa punca ME dan Simptom Susulan Covid adalah disebabkan oleh psikologi pesakit.

Saya risau bahawa faktor psikologi pesakit yang mengalami Simptom Susulan Covid akan dipersalahkan sebagai punca utama, sama seperti layanan yang diterima oleh pesakit ME.

Justeru, sebahagian besar pesakit yang akan diremehkan, adalah wanita. Mengikut Office for the National Statistics United Kingdom, dianggarkan bahawa “1.1 juta orang awam dilaporkan mengalami Simptom Susulan Covid setelah sembuh daripada jangkitan Covid-19” di UK.

Sepanjang tempoh empat minggu yang berakhir pada Mac 6, wanita adalah kumpulan pesakit yang paling lazim mengalami simptom Covid-19 berpanjangan selama 12 minggu. Aduan tentang Simptom Susulan Covid juga adalah lebih tinggi di kalangan pesakit-pesakit yang berumur 25 hingga 34 tahun.

Mereka adalah golongan muda yang sihat sebelum jangkitan Covid-19, yang tidak meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 tetapi menghadapi kesan yang berpanjangan susulan Covid-19.

Banyak yang kita boleh fahami mengenai Simptom Susulan Covid daripada ME, dan sebaliknya. Untuk respons menyeluruh dalam pengawalan Covid-19, kita mesti mempertimbangkan kesan Simptom Susulan Covid dalam perancangan kita. Ini termasuklah pembiayaan untuk penyelidikan Simptom Susulan Covid.

UK telah memperuntukkan £ 18.5 juta untuk penyelidikan Simptom Susulan Covid dan saya berharap penyelidikan ini akan ditumpukan untuk memahami faktor biologi di sebalik Simptom Susulan Covid dan untuk mencari rawatan yang berkesan. Agensi kesihatan Amerika Syarikat National Health Institute memperuntukkan USD 1 bilion untuk penyelidikan Simptom Susulan Covid.

Mesej saya kepada rakan-rakan doktor? Ingatkan kembali pesanan Bapa Perubatan Moden, William Osler, “Amati dan dengarkan cerita pesakitmu. Mereka memberitahu anda diagnosis mereka.” 

You may also like