Polemik Covid-19 Yang Angkuh Dan Dangkal — Dr Musa Mohd Nordin

Negeri Selangor tidak boleh melakukan kesan kontak dengan cepat dan sempurna tanpa data nasional.

Saya sebenarnya malas melayan kebodohan dan keangkuhan yang jelas tepapar didalam polemik kosong terhadap Selangor dan Selangor Task Force on Covid-19 (STFC).

Kita dididik untuk berhujjah dengan fakta bukan hentam semborono. Mereka yang berbincang mengenai sesuatu (dalam konteks tulisan saudara ini mengenai Covid-19 di negara kita, khususnya di Selangor) tanpa berasaskan bukti dan ilmu yang nyata patut dikecam.

Mungkin saya boleh ambil beberapa contoh untuk menunjukkan kedangkalan tulisan saudara kita ini.

Dia mendakwa: “Apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perkenalkan MySejahtera, mereka pula perkenalkan SELangkah. Timbul masalah pula mengenai data2 dgn KKM. Bergaduh pula dengan KKM.”

SELangkah merupakakan aplikasi QR-based visitor log yang pertama diguna di negara ini untuk kesan kontak (contact tracing). Ia diguna semenjak Mei 5, 2020. 

MySejahtera QR tool (dikenali sebagai MySejahtera check-in) hanya bermula pada Jun 2, 2020.

Kalau fakta asas seperti ini anda tak halusi, macam mana nak berbincang dengan waras dan ilmiah?

Lepas itu dia menulis: “Kemudian mereka umumkan bahawa mereka lebih baik mengawal covid. Poyo tahap gaban.”

Jika saudara teliti data Covid-19 daripada Januari 2020 sehingga berlakunya gelombang ketiga pada Oktober 2020, anda akan dapati bahawa Selangor dan STFC telah mengawal Covid-19 dengan amat baik.

Sebab saudara tidak menunjukkan data untuk menyokong kesimpulan saudara yang simplistik itu, maka saya akan tunjukkan pada anda statistiknya.

Garis merah adalah kes-kes Covid-19. Bilangan kes Covid-19 amat sedikit di Selangor dari Januari hingga September 2020 menunjukkan kawalan yang amat baik. Tetapi ianya naik mendadak selepas Oktober 2020. 

Ini berlaku disebabkan beberapa dosa besar kerajaan pusat, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

  1. Mendesak dan membenarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Ini telah mengakibatkan suatu peristiwa Super-Spreader (SS). SS ini suatu fenomena jangkitan Covid-19 yang menular dengan laju dan ganas mengakibatkan gelombang yang paling teruk di Sabah, dan yang melimpah ke Semenanjung. Perdana Menteri sendiri mengakui PRN Sabah merupakan punca gelombang Covid-19 ketiga.
  2. Tidak kuarantin ahli politik dan pengundi yang pulang dari Sabah. Ini menatijahkan peribadi Super-Spreader. Ada seorang ahli politik telah menjangkiti 18 orang dan seorang darinya telah meninggal dunia.

Suatu lagi dosa yang teramat besar yang dilakukan oleh kerajaan pusat, MKN dan KKM yang sehingga ini tidak dapat melandaikan keluk pandemik dan menyebabkan kes dan kematian yang meroket tinggi dan perkhidmatan kesihatan musnah ialah menghentikan perkongsian data Covid-19 dengan semua negeri pada Sep 2020.

Yang amat terkesan ialah negeri Selangor kerana tanpa data nasional, SELangkah tidak boleh melakukan kesan kontak dengan cepat dan sempurna. SELangkah, sebelum ini, dengan kesan kontak yang berasaskan Artificial Intelligence (AI) dan Machine Learning telah berjaya melakukan Find-Test-Trace-Isolate-Support (FTTIS) yang laju, berkesan, semua kontak rapat dijejak dan ini memastikan kes-kes Covid-19 terkawal.

Semenjak September 2020, MySejahtera merupakan ekosistem kesan kontak di Selangor. Lonjakan kes-kes Covid-19 yang tinggi mendadak di Selangor selepas MySejahtera mengambil-alih menunjukkan bahawa KKM gagal melakukan kesan kontak yang cepat dan berkesan.

Malah, KKM melakukan kesan kontak dengan kaedah manual kerana sistemnya tidak canggih dan pintar seperti SELangkah. Menteri Kesihatan sendiri mengakui kelemahan ekosistem kesan kontak MySejahtera.

Cubalah saudara bayangkan seorang inspektor kesihatan yang terpaksa menalipon 400 hingga 600 orang untuk urusan kontak rapat. Jika strategi kontak ini gagal, maka kes-kes Covid-19 akan merebak didalam komuniti menyebabkan penularan sporadik yang liar dan kes tidak terkawal. Jadi saudara penulis, siapa yang “poyo tahap gaban”?

Saya rasa cukuplah sekadar ini untuk menunjukkan bahawa saudara penulis kita ini hanya layak borak kosong di kedai kopi. 

Namun, bagi saudara pembaca yang lain yang inginkan penulisan mengenai Movement Control Order (MCO), FTTIS, ujian Covid-19, vaksin Covid-19 dan lain-lain yang berasakan ilmu, fakta dan kajian yang teliti boleh membaca penulisan yang saya lampirkan di link tersebut.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like