Keadilan Untuk Barisan Hadapan, Elaun Covid-19 Belum Dibayar Sejak Julai — Petugas Hospital Kajang

Bila ditanya tentang elaun, bagai lupa penat lelah kami! Bagai tiada harga langsung! Sedihnya kami!

Muhyiddin, ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada 27 Mac lepas, mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 untuk petugas kesihatan seperti doktor, jururawat, dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta membendung Covid-19.


Sedih. Kecewa. Marah.

Bila segala titik peluh dan masa yang diluangkan tanpa kira waktu, dipandang enteng oleh sesetengah pihak. Elaun yang telahpun diperuntukkan, tidak kami terima seperti yang dijanjikan.

Pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami, petugas barisan hadapan, digesa untuk mencari sticker pesakit dan ditampal dalam kertas sebagai bukti kami menguruskan pesakit SARI (severe acute respiratory infection)/ ARI (acute respiratory infection) bagi tujuan tuntutan elaun Covid.

Padahal, bukankah setiap saat kami di tempat kerja, kami telah merisikokan diri kami? Mengapa sebegitu payahnya hanya untuk menuntut sedikit elaun dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)? Tapi tak mengapalah, kami gagahkan juga menyelak rekod-rekod lama untuk track semula pesakit-pesakit yang telah kami rawat. Dan Alhamdulillah, kami terima elaun Covid seperti yang dijanjikan.

Namun, manisnya cuma sebentar sahaja.

Tak tahu mengapa, tiada lagi tuntutan elaun diberi kepada kami setelah bulan ke-3. Namun, kami masih digesa untuk bekerja seperti biasa.

Tidak terkecuali menguruskan pesakit SARI/ ARI! Kami risikokan diri kami untuk mereka, untuk negara. Bukan sahaja merisikokan diri kami, malah merisikokan keluarga kami. Ada di antara kami yang dikuarantin kerana ada kontak rapat dengan pesakit Covid, tidak boleh berjumpa suami/ isteri/ anak-anak.

Walaupun begitu, kami terpaksa mengemis untuk hak kami. Apa yang menyedihkan lagi, isu ini bukanlah isu external. Tetapi isu dalaman hospital kami — HOSPITAL KAJANG.

Rakan-rakan frontliner kami di hospital lain, semua menerima elaun Covid mereka seperti yang dijanjikan tiap-tiap bulan, walaupun tiada kes Covid di hospital mereka. Tapi, kenapa kami di Hospital Kajang tidak menerima apa yang sepatutnya?

Bukankah elaun itu telah pun diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia untuk semua frontliner? Jadi mengapa kami tidak terima elaun tersebut? Apa kurangnya kami sehingga kami dikecualikan?

Bukan sebulan! Bukan dua bulan! Tapi semenjak Julai 2020. Sekarang sudah bulan Oktober, juga sudah hampir sampai ke penghujungnya, masih tidak nampak bayang di mana duit kami.

“Janganlah berkira sangat! Kerja biar ikhlas!” — Mungkin ada yang akan berkata begini pada kami. Kami terima. Ikhlas itu biarlah Allah saja yang tahu.

Tapi, bagaimana pula dengan orang yang mengambil hak orang lain? Bukan hak seorang, tapi beratus orang! Macamana nak jawab di sana nanti? Mungkin kami tiada apa-apa kuasa untuk menjatuhkan mereka yang di atas, tapi kami percaya Tuhan itu Maha Adil.

Tanya jelah pada pentadbiran hospital! Tak perlu menyalak di media sosial!” Ya, berkali-kali pihak jabatan turun naik pejabat untuk bertanyakan hal ini. Tetapi tiada jawapan yang diberi. Bila ditanya, dipusing pusing.

Berapa lama lagi kami perlu tunggu? Kalaupun elaun ini cuma RM50, pun akan tetap kami perjuangkan! Sebab berapa pun nilainya, ia tetap hak kami! Jadi, mana salahnya untuk kami tahu di mana hak kami?

Tak pernah walau sekali kami culas dalam menjalankan tugas. Bukan mudah untuk menguruskan pesakit SARI/ ARI. Kami terpaksa memakai full PPE sepanjang menjalankan tugas. Kami terpaksa menahan kencing/ berak. Kami terpaksa menahan lapar/dahaga. Dan kami merisikokan diri kami!

Tetapi, bila ditanya tentang elaun, bagai lupa penat lelah kami! Bagai tiada harga langsung! Sedihnya kami!

Kami perlukan jawapan! Mengapa hanya kami dari Hospital Kajang tidak menerima elaun Covid dari kerajaan? Mengapa rakan-rakan kami di hospital lain menerima elaun tersebut tiap-tiap bulan tanpa masalah? Apakah beza kami dan mereka?

Jika memang ada sebab yang rasional, kami terima. Tapi jika tiada, kami gesa untuk hak kami dikembalikan! Kesemuanya sekali! Dan kami mahu perkara ini diselidik oleh pihak KKM setelusnya, dan kami mahukan solusi, bukan diskusi yang tak berkesudahan!

Kami dah muak dengan kata-kata manis pada mulut sahaja, bukan pada realitinya!

Cukuplah mempermainkan hati kami!
Cukuplah memandang rendah usaha kami!
Cukuplah bermain dengan emosi kami yang teramat letih pada waktu ini!

PULANGKANLAH HAK KAMI!

“Barangsiapa yang mengambil harta saudaranya dengan sumpahnya, maka Allah mewajibkan dia masuk neraka dan mengharamkan masuk syurga. Lalu ada seorang yang bertanya, “Wahai Rasulullah, meskipun hanya sedikit?” Beliau menjawab, “Meskipun hanya sebatang kayu araak (kayu untuk siwak)”.

Hadith riwayat Muslim dari Abu Umamah

CodeBlue is publishing this letter anonymously from medical frontliners of Kajang Hospital, Selangor, because Ministry of Health officers are prohibited from speaking publicly without prior approval from top officials.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like