Mengapa Jururawat Kena Tindakan Atas Video Cuci Tangan?

Tindakan tersebut kononnya hanya kerana jururawat itu memakai pakaian seragam jururawat dalam sebuah video yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Seorang jururawat yang merakamkan kaedah cucian tangan dengan betul melalui media sosial kononnya diarah memberi penjelasan kepada pihak atasan tentang perbuatan tersebutnya.

Delegasi Jururawat Malaysia, yang membuat dakwaan itu, tambah bahawa tindakan tersebut hanya berdasarkan atas faktor jururawat itu memakai pakaian seragam jururawat dalam video tersebut, yang tular di media sosial.

“Mengapa seorang jururawat berpakaian seragam cuba memberi pendidikan kesihatan pembasuhan tangan dengan betul dikenakan tindakan (penjelasan juga satu tindakan) oleh pihak atasan?” kumpulan itu soal dalam sebuah kenyataan dua hari lepas.

“Adakah beliau cuba mempromosikan produk atau mengiklankan dirinya untuk kepentingan diri? Adakah beliau menunjukkan kaedah yang salah dalam menyebarkan pendidikan kesihatan yang berguna kepada masyarakat memandangkan penularan wabak Covid-19?”

Dalam video satu minit tersebut, seorang jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia bernama Hidayah menunjukkan tujuh langkah untuk membasuh tangan dengan pembersih tangan (sanitiser), susulan pandemik novel coronavirus.

Delegasi Jururawat Malaysia kata hal ini sungguh mengecewakan, dan tambah bahawa tugas hakiki seorang jururawat bukan hanya terikat di wad dan klinik semata-mata.

“Setiap kali diberi peluang, seorang jururawat yang berfikiran kritis akan cuba ambil kesempatan untuk mendidik masyarakat tentang maklumat kesihatan yang betul,” katanya.

Kumpulan itu juga mempersoalkan jika jururawat tidak lagi boleh melaksanakan kempen kesihatan di luar hospital pada masa akan datang, atau adakah ini bermakna bahawa jururawat kini tidak lagi boleh memberi pendidikan kesihatan secara bebas.

“Mohon ambil perhatian terhadap isu ini. Jangan kita bersikap inferior terhadap karier sendiri sehinggakan usaha individu untuk mempromosikan kesihatan awam dan kejururawatan kepada masyarakat.

“Dah penat dengan golongan atasan yang tak celik.”

Seperti yang disarankan International Council of Nurses sempena Hari Jururawat 2020, A Voice To Lead: Nursing the World to Health, tambah kumpulan itu, seorang jururawat seharusnya sentiasa mendidik masyarakat tidak kira masa, tempat, atau individu.

“Pihak atasan yang cuba mengekang jasa dan usaha baik jururawat menyebarkan ilmu melalui media sosial adalah kami kira sebagai jahil, cetek, dan tidak memahami akan apa itu kejururawatan, semangat, dan nilai kejururawatan sebenar.

“Pada mereka, jururawat itu mempunyai tanggungjawab hanya di penempatan klinikal semata-mata, dan tidak seharusnya melaksanakan pendidikan kesihatan berterusan kepada masyarakat tanpa mengira masa dan ketika.”

You may also like