Rakyat Malaysia Pulang Dari Wuhan, 105 Dikuarantin Di Nilai

Dua orang tidak melepasi tapisan kesihatan dan dihantar ke HKL.

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Sebanyak 107 orang telah dibawa balik daripada Wuhan hari ini, iaitu 88 rakyat Malaysia dan 19 pasangan atau anak mereka bukan warga negara, bandar negara China di mana wabak novel coronavirus berasal.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), pesawat yang mendarat di Kuala Lumpur International Airport pada jam 6 pagi hari ini juga turut membawa balik lapan petugas misi, enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia, dan 12 krew AirAsia, dari bandar negara China sentral di wilayah Hubei tersebut.

Semua 107 orang iaitu, 88 rakyat Malaysia dan 19 pasangan/anak mereka bukan warga negara telah pun melepasi tapisan kesihatan yang dibuat oleh Kerajaan China sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Walaupun sebelum ini dimaklumkan jumlah yang berdaftar dengan kedutaan Malaysia di China untuk kembali ke Malaysia adalah 141, tetapi jumlah sebenar yang hadir untuk menaiki pesawat adalah 107.

Nadma berkata bahawa menurut Wisma Putra, sebilangan rakyat Malaysia yang dijadualkan dalam penerbangan ini tidak dapat meninggalkan Wuhan atas masalah logistik. Sebab utama adalah mereka berada di luar bandar Wuhan dan kesukaran untuk mendapatkan kenderaan untuk menuju ke bandar Wuhan atau ke lapangan terbang.

Sebaik mendarat, mereka dibawa menaiki bas ke Air Disaster Unit (ADU) untuk melalui tapisan kesihatan. Daripada 107 yang dibawa pulang dari Wuhan, dua orang tidak melepasi tapisan kesihatan tersebut dan telah dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

Pusat Pemantauan (Surveillance Centre) untuk novel coronavirus di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Gambar dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setelah selesai tapisan kesihatan di ADU, 105 orang telah dibawa menaiki bas ke Pusat Pemantauan (Surveillance Centre) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, di mana mereka akan dikuarantin selama 14 hari.

Pusat Pemantauan ini akan diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Di sini, perhubungan adalah terhad kepada petugas kesihatan sahaja.

Selain petugas kesihatan, tidak ada perhubungan dengan pihak luar yang dibenarkan, termasuk ahli keluarga. Lokasi ini dikawal oleh pihak polis, Nadma berkata.

Saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan mereka ini benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan ini.

Pusat Pemantauan (Surveillance Centre) untuk novel coronavirus di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Gambar dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lapan kes novel coronavirus, dikenali sebagai 2019-nCoV, telah dilaporkan di Malaysia, kesemua warga negara China.

Hong Kong hari ini melaporkan kematian pertama daripada 2019-nCoV, iaitu kematian kedua di luar negara China. Kematian pertama di luar negara China berlaku di negara Filipina. Kematian seluruh daripada virus tersebut telah melangkau ke sekurang-kurangnya 425.

Lebih daripada 20,000 orang di seluruh dunia, kebanyakan di negara China, telah dijangkiti 2019-nCoV.

You may also like