Graduan Perubatan Luar Negara Wajib Sahkan Ijazah, Bayar Fi

Pengamal perubatan yang bergraduat dari institusi dalam negara tidak perlu melalui proses ini.

KUALA LUMPUR, 22 Jan — Semua pengamal perubatan yang bergraduat dari luar negara yang ingin berdaftar di Malaysia mesti mengesahkan ijazah dan transkrip mereka, Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berkata.

Presiden MPM Dr Noor Hisham Abdullah berkata proses Primary Source Verification ini berkuatkuasa 1 Jun tahun ini untuk memastikan kesahihan sijil ijazah dan transkrip mereka sebelum berdaftar dengan MPM.

Ini secara langsung untuk mengelakkan sebarang kes pemalsuan sijil-sijil tersebut.

Pihak MPM telah melantik dua badan bagi tujuan proses Primary Source Verification tersebut, iaitu DataFlow Group dan Educational Commission for Foreign Medical Graduates (ECFMG).

“Proses Primary Source Verification ini melibatkan pembayaran fi berdasarkan dokumen yang ingin disahkan dan bayaran ini ditetapkan oleh badan yang mengendalikan proses tersebut dan kesemua kos pembayaran perlu ditanggung oleh pengamal perubatan sendiri.

“Pihak MPM tidak terlibat dalam penentuan fi bayaran yang dikenakan dan semua urusan verifikasi perlulah dilaksanakan oleh pengamal perubatan tersebut,” Dr Noor Hisham berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Proses verifikasi ini melibatkan permohonan Sijil Pendaftaran Penuh, Sijil Pendaftaran Sementara, Sijil Perakuan Amalan Sementara, dan juga pendaftaran bagi tujuan pasca-siswazah, latihan klinikal pasca-siswazah, fellowship, atau clinical attachment.

Pengamal perubatan yang bergraduat dari institusi dalam negara tidak perlu melalui proses ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pengamal perubatan yang bergraduat dari luar negara, sama ada warganegara atau bukan warganegara, yang ingin berdaftar dengan MPM untuk melalui proses verifikasi tersebut dalam tempoh yang lebih awal supaya proses permohonan pendaftaran dengan pihak MPM adalah tidak tergendala.

“Pihak MPM berhak menolak mana-mana permohonan pendaftaran seperti yang dinyatakan di atas sekiranya tidak memenuhi proses verifikasi yang tersebut berkuatkuasa 1 Jun 2020,” Dr Noor Hisham berkata.

You may also like