Tempat Makan Dilarang Sedia Ruang Khas Merokok

PBT mungkin akan menyediakan tempat pembuangan puntung rokok, bukan ruang khas untuk merokok, Dr Lee Boon Chye berkata.

KUALA LUMPUR, 6 Jan — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang restoran-restoran daripada membuka kawasan khas merokok, selepas larangan merokok dikuatkuasakan tahun ini.

Bernama melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata sekiranya kedai makanan menyediakan ruang khas merokok lebih daripada tiga meter dari kawasan operasi mereka, ia di bawah kuasa bidang pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan PBT. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mungkin akan mempertimbangkan premis makanan untuk menyediakan tempat pembuangan puntung rokok (dan bukannya ruang khas untuk merokok),” Dr Lee dilaporkan berkata di Batu Gajah semalam.

Walau bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin telah berkata bahawa PBT yang terpilih akan menyediakan kawasan khas merokok dengan jarak 3 meter dari tempat makan.

Bandar Kuching di Sarawak juga merancang untuk menyediakan beberapa kawasan khas merokok dekat tempat makan.

Pada 1 Januari tahun ini, KKM melaksanakan sepenuhnya larangan merokok di tempat makan awam dengan kompaun sebanyak RM250 untuk perokok dan pemilik premis yang melanggar peraturan.

You may also like