KKM Keluarkan Kompaun Merokok Setengah Juta Ringgit Dalam Lima Hari

Penguatkuasaan yang telah dijalankan selama lima hari ini telah menunjukkan penurunan kepada keseluruhan notis kesalahan yang dikeluarkan.

KUALA LUMPUR, 6 Jan — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan sejumlah 2,312 notis kesalahan berkait dengan larangan merokok di tempat makan, dengan nilai kompaun sebanyak RM554,400.

Daripada 2,312 notis kesalahan tersebut, 1,702 notis berkait dengan kesalahan merokok di tempat makan, manakala 400 notis kesalahan adalah kegagalan pemilik premis untuk mempamerkan tanda larangan merokok, dan 92 notis kesalahan pemilik premis kerana menyediakan kemudahan merokok.

Pihak KKM juga telah mengeluarkan sejumlah 118 notis kesalahan berkait dengan golongan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Sepanjang aktiviti penguatkuasaan selama lima hari dari 1 Januari hingga 5 Januari, sebanyak 29,903 buah premis tempat makan telah diperiksa. Secara rumusan, penguatkuasaan yang telah dijalankan selama lima hari ini telah menunjukkan penurunan kepada keseluruhan notis kesalahan yang dikeluarkan.

“Namun pihak KKM masih menerima aduan kesalahan merokok yang melibatkan 1,039 tempat makan melalui talian hotline 010-860 8949 semenjak penguatkuasaan penuh dijalankan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

“Pihak KKM juga ingin menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.

“Pihak KKM akan sentiasa membantu golongan perokok untuk berhenti merokok. Pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400.”

You may also like