Pihak Berkuasa Tempatan Akan Sediakan Kawasan Khas Merokok

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menyediakan kawasan khas merokok.

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk menyediakan kawasan khas merokok.

Perancangan ini akan dilaksanakan secara berperingkat pada tahun depan di PBT yang terpilih, apabila larangan merokok di premis makan terbuka akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari.

Menteri Zuraida Kamaruddin berkata Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menyediakan kawasan khas merokok dengan jarak 3 meter dari tempat makan awam, mematuhi arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KPKT menasihati para perokok agar tidak membuang puntung rokok merata-rata, amalkan membuang sampah di tempat sesuai dan hanya merokok di kawasan yang dibenarkan sahaja,” Zuraida berkata dalam satu kenyataan.

“KPKT juga akan meminta PBT menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Larangan Pembuangan Sampah ke atas perokok yang membuang puntung rokok merata-rata.”

Selepas satu tahun, tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di premis makanan terbuka akan berakhir 31 Disember ini. Penguatkuasaan penuh oleh KKM akan bermula pada 1 Januari, dengan perokok menghadapi denda jika merokok di tempat makan.

You may also like