KWSP Mohon Maaf ‘Paksa’ Pesakit Kanser Ke Pejabat

Insiden tersebut didakwa berlaku di pejabat KWSP Johor Baru.

KUALA LUMPUR, 22 Dis — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memohon maaf atas pengalaman seorang pencarum, seorang pesakit kanser terlantar katil, yang dibawa melalui “stretcher” ke pejabat untuk mengeluarkan wang dari akaunnya.

Nur Shahaila Abdullah menulis di laman Facebook seorang pegawai KWSP di pejabat Johor Baru memberitahunya dan abangnya bahawa pihak KWSP tidak boleh membuat lawatan ke rumah untuk mendapatkan cop jari kakak mereka secara manual dan pengesahan diri pencarum.

Kakak mereka berusia 56 tahun dan ingin mengeluarkan kesemua baki dari akaun 1 yang berjumlah kurang daripada RM10,000.

Menurut Nur Shahaila, beliau diberitahu bahawa pencarum mesti hadirkan diri di pejabat untuk pengesahan cop jari menggunakan mesin mereka.

Nur Shahaila seterusnya membawa kakaknya ke pejabat KWSP di dalam ambulan yang disewa, dengan pesakit kanser dibawa dalam stretcher masuk ke kaunter.

“Allahuakbar… sedih tgk kakak saya yg mmg sudah tidak ada daya upaya mengangkat tangannya tu terus menjadi tontonan orng ramai di situ,” beliau tulis.

“yg menyedihkan saya lagi, salah seorang pengawai kata… sebenarnya blh mengunakan cara cop jari manually cuba lambat.”

KWSP berkata dalam kenyataan semalam bahawa mereka telah menghubungi dan berjumpa dengan Nur Shahaila dan keluarganya untuk membantu mereka, selain untuk memperbaiki proses yang sedia ada.

“KWSP amat kesal dan mohon maaf atas pengalaman kurang menyenangkan yang dialami ahli tersebut dan keluarganya,” KWSP berkata.

“Sekali lagi, kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang telah berlaku. Di sini juga ingin kami menegaskan bahawa pihak KWSP sentiasa mengambil berat terhadap aduan atau maklum balas daripada ahli mengenai tahap perkhidmatan untuk tujuan penambahbaikan berterusan.”

You may also like