Perokok Mungkin Dihukum Cuci Tandas Kalau Langgar Peraturan

Contoh hukuman ialah membersihkan tandas, memungut sampah, atau memotong rumput.

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang pertimbangkan hukuman kerja sosial untuk pesalah peraturan larangan merokok di tempat awam.

Bernama melaporkan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memberi contoh hukuman seperti membersihkan tandas, memungut sampah dan memotong rumput.

“Hukuman denda akan membuat orang berfikir kalau ada duit boleh buat kesalahan. Jadi, saya melihat kepada hukuman kerja sosial ini dengan teliti,” Dzulkefly dilaporkan berkata di majlis perjumpaan bulanan kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Peraturan larangan merokok di semua tempat makan dikuatkuasakan bermula 1 Januari lalu. Perokok yang merokok di kawasan larangan akan dipenjara tidak lebih dua tahun atau didenda maksimum RM10,000.

Menurut Dzulkefly, 129,180 premis sudah diperiksa sehingga kini dengan notis amaran larangan merokok sudah dikeluarkan mencecah 30,698.

You may also like