Kementerian Kewangan Nafi mySalam Untungkan Syarikat Insurans

Kementerian Kewangan Malaysia berkata kajian menyeluruh telah dijalankan untuk memastikan skim mySalam memberi manfaat kepada rakyat.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Kementerian Kewangan Malaysia menegaskan tiada unsur keuntungan untuk mana-mana syarikat insurans melalui skim mySalam.

Segala baki premium yang telah dibayar kepada syarikat takaful Great Eastern yang tidak dituntut, dan faedah simpanan yang terkumpul, akan dibayar balik sepenuhnya kepada Tabung Amanah mySalam.

“Skim perlindungan kesihatan ini merupakan satu skim takaful yang bukan bermotif keuntungan,” Kementerian Kewangan Malaysia berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan yang dimuat naik di laman web kementerian itu adalah sebagai menjawab dakwaan sebuah artikel komentar oleh Abd Jalil Backer, presiden Angkatan Karyawan Nasional, yang disiarkan Sinar Harian yang bertajuk “MySalam Skim Cepat Kaya Luar Biasa”.

Abd Jalil berkata bahawa walaupun Great Eastern Holdings (GEH) memperuntukkan dana sebanyak RM2 bilion untuk skim mySalam selama lima tahun, kerajaan membayar premium RM400 juta setahun kepada syarikat insurans tersebut.

“Dengan kata lain, dana RM2 bilion itu bukan atas risiko GEH. Ia dijamin sepenuhnya kerajaan melalui pembayaran premium RM400 juta setahun,” beliau berkata.

“RM400 juta adalah satu jumlah wang tunai yang sangat besar dalam perniagaan. Bermacam keuntungan boleh dijana sepanjang setahun dengan jumlah tersebut. Aneh sekali kerajaan memilih memberi kemudahan tunai sebesar itu kepada sebuah syarikat dari Singapura.”

Kementerian Kewangan Malaysia berkata mereka bersama Bank Negara Malaysia telah menjalankan kajian dan penilaian yang menyeluruh untuk memastikan bahawa skim mySalam memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.

Maklumat tentang skim ini boleh didapati dengan mudah melalui laman web skim mySalam.

mySalam merupakan skim takaful yang ditawarkan oleh kerajaan untuk kumpulan B40 yang layak, iaitu seramai 3.8 juta individu.

You may also like