KKM Mahu Larang Penanaman Daun Ketum

Pengambilan ketum selalunya beserta dengan minuman beralkohol, opioid, atau metamfetamin.

KUALA LUMPUR, 11 Julai — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meminda Akta Racun 1952 untuk melarang penanaman daun ketum. 

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pindaan ini akan memperuntukkan larangan ke atas aktiviti perladangan, penanaman, pengimportan, pengeksportan, pembekalan, penjualan dan pemilikan tumbuhan psikoaktif seperti pokok ketum. 

“Cadangan kawalan ini diharap dapat membendung masalah penggunaan ketum yang mempunyai banyak kesan negatif kepada masyarakat dan negara,” Boon Chye berkata di Parlimen hari ini apabila menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya.

Boon Chye berkata penduduk di sekitar utara Semenanjung Malaysia telah lama menggunakan daun ketum sebagai rawatan tradisional untuk beberapa masalah seperti rawatan untuk demam (antipyretic), cirit-birit (anti-diarrhoeal), sebagai ubat cacing (anti-helminthic), tanpa sebarang kesan sampingan yang teruk (major adverse reaction) ataupun kematian dilaporkan.

Walau bagaimanapun, semenjak kebelakangan ini, kebanyakan kes pengambilan substans di klinik kesihatan KKM menunjukkan pengambilan ketum selalunya beserta dengan substans jenis lain seperti minuman beralkohol, opioid, atau jenis amphetamine/ metamfetamin atau disebut sebagai “polydrug user”.  

“Kes-kes yang mengalami kebergantungan kepada ketum atau dengan substans yang lain dirawat secara simptomatik dengan ubat-ubatan sedia ada,” Boon Chye berkata.

You may also like