Jururawat Siti Kharina, Suspek Sewa Kondominium Bersama

Suspek lelaki warga Nigeria mempunyai kad akses ke unit kondominium yang disewa oleh Siti Kharina.

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Polis mengesahkan Ketua Jururawat Hospital Serdang Siti Kharina Mohd Kamarudin telah sewa unit kondominium di Cyberjaya bersama suspek utama kes pembunuhannya.

Sinar Harian melaporkan bahawa Siti Kharina bersama suspek lelaki warga Nigeria telah menyewa unit kondominium itu sejak Januari lalu, di mana mayat wanita berumur 40 tahun itu telah ditemukan hari Khamis lalu.

“Suspek lelaki warga Nigeria itu juga mempunyai kad akses masuk ke kondominium berkenaan dan kediaman itu disewa atas nama Siti Kharina.

“Berdasarkan siasatan polis ke atas suspek dan juga keterangan saksi-saksi lain mendapati, Siti Kharina hanya secara on off (tidak setiap hari) menginap di kondominium berkenaan,” Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat beritahu Sinar Harian.

Pihak polis sedang menyiasat sekiranya suspek terlibat dalam jenayah seperti “love scam” atau dadah.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan namun polis telah menemui beberapa petunjuk baharu dan setakat ini tidak akan didedahkan kepada umum. Bagaimanapun, dengan penahanan tiga suspek ini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai berjaya diselesaikan,” Fadzil berkata.

Selain suspek lelaki warga Nigeria, seorang wanita warga Nigeria dan seorang lelaki warga Pakistan telah ditahan.

Astro Awani melaporkan bahawa suspek utama berkenalan dengan Siti Kharina melalui media sosial.

“Dia (suspek) kenal melalui media sosial kemudian datang berjumpa dengan mangsa (Siti Kharina) pada awal bulan Januari,” Fadzil berkata.

Siti Kharina telah meninggal dunia akibat hirisan di leher. Mayatnya mempunyai kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala.

You may also like