Kerajaan Belanja RM16Bil Untuk Rawat Masalah Komplikasi Merokok

Penyediaan bilik merokok di Parlimen tidak akan melindungi orang awam 100 peratus.

KUALA LUMPUR, Nov 1 – Kerajaan telah berbelanja sebanyak RM16 billion bagi merawat tiga penyakit utama akibat merokok, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

“Oleh yang demikian, komplikasi kesihatan seumpama ini akan menyebabkan impak negatif kepada ekonomi negara kerana lebih banyak duit diperlukan bagi perawatan komplikasi,” Dzulkefly berkata dalam satu jawapan parlimen semalam.

Beliau juga berkata bahawa kerajaan tidak akan menyediakan kawasan merokok di parlimen, selepas kerajaan menutup ruang khas untuk perokok pada bulan Oktober tahun lepas.

“Penyediaan bilik merokok atau ruang khas untuk perokok tidak akan dapat menjamin perlindungan 100 peratus ini dan akan membahayakan orang awam di sekeliling yang terdedah kepada asap rokok,” tambah Dzulkefly.

“Penyediaan bilik merokok di Parlimen hanya akan mewujudkan satu persepsi bahawa amalan merokok adalah satu budaya di kalangan ahli Parlimen Malaysia dan hasrat ke arah ‘denormalisation of smoking habit’ tidak akan tercapai.”

Selain itu, satu Jawatankuasa Kerja Pakar telah ditubuhkan untuk mengkaji semula bentuk kawalan yang akan diambil terhadap vape. Ia akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Menurut Bernama, Dr Lee berkata bahawa kerajaan akan belajar daripada United Kingdom mengenai cara mengawal selia penggunaan vape.

“Kita tahu United Kingdom telah lama mengawal penggunaan rokok elektronik dan mungkin ada sesuatu yang boleh kita lihat dan kaji bagaimana mereka mengawal rokok elektronik supaya kita mempunyai maklumat,” Dr Lee berkata.

Sebuah agensi kesihatan UK berpendapat bahawa vape adalah 95 peratus kurang berbahaya daripada rokok, sambil menyarankan orang perokok untuk bertukar sepenuhnya kepada vape.

You may also like