Taiwan Iktiraf Perkahwinan Sesama Jenis

Negara pertama di Asia.

KUALA LUMPUR, Mei 18 — Parlimen Taiwan menjadi negara Asia pertama meluluskan undang-undang bagi mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.

Rang undang-undang tersebut membolehkan perkahwinan antara pasangan sesama jenis, bagi membentuk penyatuan tetap yang eksklusif. Ia membenarkan pasangan tersebut memohon mendaftarkan perhubungan mereka sebagai perkahwinan dengan agensi kerajaan.

Proses undian itu berlangsung pada 17hb Mei iaitu Hari Antarabangsa Menentang Homofobia, Transfobia dan Bifobia. Acara antarabangsa ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pelanggaran hak asasi LGBT.

Pihak konservatif Taiwan gagal dalam usaha mereka mematahkan sokongan terhadap undang-undang berkenaan.

Perkembangan ini merupakan kejayaan besar bagi masyarakat LGBT yang telah berkempen sejak beberapa tahun lalu.

AFP melaporkan bahawa undang-undang berkenaan mewujudkan kesamarataan pasangan sesama jenis dengan pasangan heteroseksual.

Perikatan bagi Mempromosikan Hak Perkongsian Sivil Taiwan berkata “Klausa empat memastikan dua individu yang memiliki jantina yang sama boleh mendaftarkan perkahwinan mereka pada 24 Mei dan memastikan Taiwan menjadi negara pertama di Asia yang membenarkan perkahwinan sesama jenis, sekali gus membuka sejarah baharu.”

You may also like