Sajat Didakwa Miliki Produk Kecantikan Tak Berdaftar

KKM merampas 19 jenis produk kecantikan bernilai hampir RM10,000.

KUALA LUMPUR, 13 Mei — Usahawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman mengaku tidak bersalah kepada tuduhan memiliki 19 produk kecantikan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Utusan Online melaporkan mak nyah berusia 34 tahun didakwa di mahkamah majistret di Johor Baru semalam bahawa usahawan itu melakukan jenayah tersebut di sebuah kedai di Bandar Baru Uda di Johor Baru tahun lalu.

Pegawai unit farmasi KKM, menurut kertas pertuduhan, merampas 19 jenis produk kecantikan bernilai hampir RM10,000 di sebuah premis di Bandar Baru Uda pada 15 Ogos 2018.

Antara produk yang dirampas termasuk pemutih kulit.

Tindakan diambil mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Ia ialah satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984.

Nur Sajat didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Hukuman jika sabit kesalahan ialah denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

You may also like