Tiada Tindakan Akan Diambil Terhadap Doktor Antivaksin

Dzulkefly Ahmad berkata KKM tidak akan ambil tindakan terhadap doktor antivaksin, tetapi masyarakat boleh lapor kepada MMC.

KUALA LUMPUR, 13 Mei — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak berputus untuk mengambil tindakan terhadap doktor yang tidak menyokong pengambilan vaksin, Menteri Dzulkefly Ahmad berkata.

Berita Harian melaporkan menteri kesihatan berkata KKM masih mengambil pendekatan berdialog tentang kepentingan vaksin, termasuk berbincang dengan golongan antivaksin.

“KKM sentiasa memantau sebarang kempen dianjurkan golongan aktivaksin ini. Saya berpendapat adalah penting kita terus memberi penerangan mengenai kepentingan vaksin.

“Jika golongan antivaksin ada hujah mereka, kita pun ada hujah kita sendiri, malah kita sedia berkongsi pentas untuk membahaskan perkara ini jika mereka mahu,” Dzulkefly memberitahu media selepas mengadakan lawatan rasmi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang hari ini.

Dzulkefly dilaporkan menggesa orang ramai untuk membuat laporan kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sekiranya berjumpa doktor yang antivaksin.

“Masyarakat perlu tampil buat laporan kepada MMC dan biar MMC tentukan apa tindakan susulan kepada mereka (doktor) ini,” katanya.

Beliau juga dilaporkan berkata kertas cadangan mewajibkan suntikan vaksin untuk bayi dan kanak-kanak sudah dibentangkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. Ia perlu dibentangkan kepada Dzulkefly terlebih dahulu sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

“Perkara ini tidak boleh dibuat tergesa-gesa dan saya minta semua pihak bersabar. Banyak sudut perlu dilihat kerana ada isu kritikal yang perlu dilihat dan saling berkait. Perkara penting ialah anak kita semua selamat,” Dzulkefly berkata.

You may also like