Bersih: Tawaran Guan Eng Bantu Hospital Sandakan Seperti Najib ‘You Help Me, I Help You’

Bersih 2.0 juga mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan papan iklan PBS yang memaparkan kenyataan Guan Eng berkenaan isu parkir di Hospital Sandakan.

KUALA LUMPUR, 3 Mei — Bersih 2.0 menyeru Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk menyelesaikan masalah kekurangan parkir di Hospital Sandakan walaupun sekiranya calon DAP kalah pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Pemantau pilihan raya tersebut berkata jika Guan Eng benar mengatakan tidak dapat bertindak sekiranya Vivian Wong tidak menang PRK Sandakan, dan kemudiannya katakan pula sebaliknya jika Vivian menang, ia seumpama ucapan Najib Razak ketika PRK Sibu dan Hulu Selangor pada 2010. Beliau telah dipetik berkata: “You help me, I help you” (kamu bantu saya, saya bantu kamu).

Bekas perdana menteri Najib ketika itu telah menyeru pengundi untuk menyokong Barisan Nasional sekiranya mereka mahu peruntukan untuk jambatan baharu di Sibu dan sekolah baru di Hulu Selangor.

“Kita menyeru (Guan Eng) untuk bagi jaminan bahawa beliau akan tolong menyelesaikan masalah parkir walaupun sekiranya Wong tidak dipilih kerana beliau adalah Menteri Kewangan untuk semua rakyat Malaysia, tidak kira gabungan politik,” Bersih 2.0 berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih 2.0 juga mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan papan iklan PBS yang memaparkan kenyataan Guan Eng berkenaan isu parkir di Hospital Sandakan.

“Walaupun papan iklan itu boleh menyakitkan hati sesetengah orang, kita tidak melihat apa-apa kesalahan pilihan raya yang memerlukan tindakan cepat pasukan penguatkuasaan SPR.”

Astro Awani melaporkan Timbalan Presiden PBS Dr Yee Moh Chai mempersoalkan tindakan SPR yang menurunkan papan iklan tersebut atas arahan polis yang berkata papan iklan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Papan iklan tersebut memuatkan petikan laporan berita dari Astro AEC yang melaporkan Guan Eng berkata dalam bahasa Cina: “Kekurangan ruang parkir di Hospital Sandakan; Lim: Jika kita menang, cari saya. Jika kalah, tiada apa yang saya boleh buat”.

“Kenyataan itu amat mudah. Ia berkait pengurangan parkir kenderaan di Hospital Sandakan. Kami telah letak di bawah poster tersebut, hanya lima perkataan berbahasa Cina,” Dr Moh Chai dilaporkan berkata kepada media di Sandakan semalam selepas berjumpa pegawai pengurus pilihan raya PRK Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supain.

Lima perkataan bahasa Hakka itu dilaporkan membawa maksud: “Alamak! Kena marah lagi?”.

PRK parlimen Sandakan pada 11 Mei ditanding oleh calon DAP Vivian, calon PBS Linda Tsen, dan tiga calon bebas.

You may also like