Saya ialah ahli keluarga kepada pesakit HN (seorang wanita berusia 26an) yang dimasukkan ke Bahagian Kecemasan & Trauma (ETD), Hospital Sultanah Maliha (HSM), hospital besar Langkawi, pada 19 Ogos 2025 kerana pendarahan otak.
Saya ingin berkongsi agar khalayak umum tidak akan mengalami atau mengharungi apa yang berlaku pada keluarga saya, iaitu pengalaman yang ngeri, menyakitkan hati dan tidak mungkin diterima sama sekali.
HN yang sakit tenat tiba di Hospital Besar Langkawi seawal jam 6.30 pagi. Selepas pemeriksaan pertama, beliau disahkan perlu menjalani imbasan CT, yang akhirnya hanya selesai sekitar jam 10–11 pagi. Hasilnya jelas menunjukkan pendarahan otak yang serius.
Dalam keadaan begini, sepatutnya setiap saat adalah kritikal tetapi apa yang berlaku di bawah seliaan pegawai perubatan bertanggungjawab penuh pada nyawa HN di ETD pada hari itu adalah satu peristiwa dahsyat dan kegagalan mutlak.
Perancangan asal Hospital Langkawi ni adalah untuk menghantar pesakit segera ke hospital semenanjung melalui laluan feri dari Jeti Kuah pada jam 2 petang hari yang sama ke jeti Kuala Perlis terlebih dahulu, dengan sebab hospital ini tidak mempunyai kemudahan untuk rawatan lanjut kes pendarahan dalaman otak sebegini serius.
Jadi logiknya, situasi yang cemas dan serius keadaan HN, semua persediaan yang dikendalikan oleh bahagian kecemasan dari kit perubatan, staf pengiring, dan keselamatan pesakit wajib siap lebih awal dan diberikan keutamaan. Namun, suami HN telah menceritakan apa dia nampak: sikap seorang pegawai perubatan senior yang bertugas adalah relaks, bersiar-siar sekitar ETD dan muka bersenyum-senyuman berbual-bual dalam dua tiga talipon, sambil lewa dan tidak berjiwa menyelamatkan nyawa.
Seandainya kerja persediaan dan pemantauan telah diatur dan dipastikan berjalan lancar, kami tidak kisah meskipun beliau berbual kosong.
Tetapi apa yang terjadi dan menyakitkan hati kami semua, HN tidak sempat menaiki feri tersebut kerana ambulans terpaksa berputar balik ke hospital semula setelah tiba di Jeti Kuah atas sebab kecuaian pegawai tersebut untuk membawa tangki oksigen dan kit kecemasan yang amat diperlukan.
Staf ETD yang suami HN tanyakan dan diminta sebab kelewatan yang tidak mungkin berlaku ni, staf telah memberitahu sebab kecuaian dalam persediaan kit pemindahan dan kecemasan, arahan yang longgar, serta tidak jelas haluan dan kelemahan koordinasi pegawai perubatan senior.
HN hanya dapat menaiki feri seterusnya pada jam 4 petang. Bayangkan siapa di dunia ni sanggup terima dua jam terbuang begitu sahaja atas kerja sambil lewa seorang pegawai yang diamanahkan tugas penting hospital, sedangkan masa itulah penentu sama ada HN dengan pendarahan otak masih hidup atau tidak.
Apakah jaminan nyawa pesakit seterusnya akan selamat di bawah jagaan pegawai perubatan senior tersebut pada masa depan?
Susulan itu, kami telah mendapatkan pandangan daripada Biro Bantuan Guaman yang akur bahawa sekiranya terdapat bukti kecuaian atau keluarga kami tidak setuju terhadap siasatan aduan yang telah dibuat kepada Sispaa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Malaysian Medical Council (MMC), mereka bersedia memberi khidmat tindakan sivil sewajarnya kepada kami.
Hal ini sebagai penegasan bahawa kepentingan pesakit perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab.
Kami juga ingin menarik perhatian bahawa staf-staf yang mengendalikan pemindahan HN dari Hospital Langkawi ke Jeti Kuah telah menyatakan bahawa mereka telah menerima arahan yang tidak jelas daripada pegawai perubatan senior tersebut. Kekeliruan arahan ini menjadi antara faktor utama kelewatan kritikal yang menjejaskan keselamatan dan rawatan HN.
Justeru, saya amat berharap agar pihak CodeBlue akan melaporkan kes ini dengan menyeluruh dan meneliti segala kecuaian agar orang awam akan lebih berwaspada semasa berurusan dengan Hospital Langkawi.
Kami rasa etika perubatan dan pegawai pengamal perubatan yang tidak kompeten patut disoalsiasat dan bertanggungjawab agar insiden sebegini tidak lagi berulang dan pesakit lain tidak menanggung nasib yang sama kelak.
Saya mendesak juga pengarah Hospital Langkawi dan juga ETD peringkat negeri serta kebangsaan supaya menyiasat perkara ini dengan segera.
Sanggupkah rakyat Malaysia gadaikan nyawa anak diletakkan dalam risiko hanya kerana sikap sambil lewa seorang pegawai perubatan senior?
Catatan editor: CodeBlue telah meminta komen daripada KKM berhubung aduan ini. Identiti pengadu dan pesakit dirahsiakan atas permintaan pengadu bagi menjaga kerahsiaan pesakit.
- Ini ialah pandangan peribadi penulis atau penerbitan dan tidak semestinya mencerminkan pendirian CodeBlue.

