Surat Terbuka Untuk Ketua Pengarah Kesihatan Mengenai Kekurangan Jururawat — Ronald Levis Sumin

Seorang bekas jururawat mohon tindakan drastik daripada KPK untuk kebajikan jururawat, seperti mengiktiraf kepakaran dan menghentikan program “reshuffle”. “Kami tak mampu bersuara kerana risau akan diugut dan kami cuma mampu angkat kaki meninggalkan KKM.”

Buat Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),

Salam dan tahniah saya ucapkan kepada Dr Mahathar Abd Wahab atas perlantikan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan KKM. Saya yakin dengan perlantikan Dr Mahathar, saya pasti Dr Mahathar akan membawa perubahan besar dalam merevolusikan sistem kesihatan di dalam KKM yang semakin lemah dan karam.

Buat pengetahuan Dr Mahathar, saya merupakan seorang bekas jururawat yang pernah bertugas di KKM pada lima tahun yang lepas. Sepanjang 15 tahun saya menunaikan bakti sebagai rakyat Malaysia yang patriot semasa saya bertugas sebagai jururawat KKM, saya sentiasa mengharapkan sistem kejururawatan di Malaysia akan berada di satu takuk yang membawa imej jururawat yang hebat di mata dunia.

Sayangnya, semakin hari, ramalan saya melihat sahabat-sahabat kejururawatan saya meninggalkan profesion ini dari KKM menjadi kenyataan. Tidaklah saya pelik dengan apa yang berlaku kerana dari dahulu lagi, sistem pengurusan kejururawatan sendiri yang merosakkan orang-orang bawah yang masih berjinak menjadi seorang jururawat junior.

Lebih pedih lagi, berita betapa kritikalnya kekurangan jururawat dalam sektor KKM tidak dapat lagi dinafikan oleh Menteri Kesihatan kita, Dzulkefly Ahmad, beberapa hari yang lalu.

Ia sememangnya telah diramal sejak saya mula meninggalkan KKM selepas musibah Covid-19, apabila perancangan dan cubaan KKM melakukan rombakan “penempatan semula” jururawat akhirnya memakan diri.

Cubaan mengisi kekosongan dengan menarik jururawat dari klinik-klinik atas alasan pengisian klinikal digunakan dan kumpulan-kumpulan pelaksana jururawat menjadi mangsa lebih memburukkan keadaan.

Program “reshuffle” jururawat pula menjadikan keadaan bertambah kritikal dan menyebabkan lebih ramai jururawat yang angkat kaki kerana kepakaran mereka dalam sektor kerajaan tidak lagi diiktiraf.

Saya yakin kekurangan jururawat ini akan bertambah lebih buruk dengan perlaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu dari pihak kerajaan. Hairan juga kerana kita tidak dengar masalah ini dihadapi oleh profesion-profesion lain dalam KKM, selain doktor-doktor. 

Bayangkan, Dr Mahathar, dalam tempoh 13 tahun bertugas, jururawat cuma diberi kenaikan satu pangkat dengan tambahan RM10 sahaja dalam kenaikan gaji. Ironinya, keadaan ini nampak normal dalam sistem perjawatan di Malaysia.

Sebenarnya, ramai lagi yang bersemangat patriotisme ingin memberi sumbangan buat rakyat Malaysia yang memerlukan penjagaan kesihatan yang sempurna. Malangnya, terdapat keadaan persekitaran kerja yang toksik, gaji yang kurang, kenaikan pangkat yang tidak setara dengan beban kerja dan pembahagian pangkat yang kurang adil antara sesama staf yang lebih layak, kurang pengiktirafan pada jururawat yang pakar dalam bidangnya, program “reshuffle” yang memberi tekanan melampau pada staf, dan pengurusan tertinggi yang syok sendiri dengan pelan-pelan yang mengarut tanpa memikirkan kebajikan dan emosi staf.

Saya mohon tindakan drastik dari pihak Dr Mahathar supaya kebajikan dan emosi jururawat diberi keutamaan dan penekanan. Saya merayu supaya tiada lagi jururawat-jururawat yang mengikuti jejak langkah saya meninggalkan sektor KKM yang semakin memburuk dan membusuk saban hari dengan memberi keutamaan kepada beberapa perkara penting seperti berikut:

Beri perhatian kepada jururawat sedia ada dengan memberi sokongan kebajikan dan emosi supaya mereka terus berada dalam sektor KKM.

Kebajikan ini harus melibatkan emosi dan penglibatan staf, meliputi jadual kerja, beban tugas, pengurusan cuti yang adil, dan yang paling utama, ruang telus untuk menyuarakan pendapat tanpa sebarang campur tangan pihak atasan.

Beri pengiktirafan kepakaran pada jururawat-jururawat yang pakar dalam bidang masing-masing. Beberapa bahagian kesihatan dalam KKM melibatkan Kardiologi, Ortopedik, Urologi, Vaskular, Oftalmologi, dan Otorinolaringologi memperlihatkan kepakaran jururawat-jururawat dalam bidang masing-masing, dari ruang klinik yang memerlukan banyak prosedur klinikal, hingga ke dewan bedah yang menggunakan kepakaran dari khidmat jururawat-jururawat yang sama.

Adalah satu kerugian bila kita melihat kepakaran-kepakaran ini diabaikan, dipindahkan ke tempat lain hanya untuk “mengisi tempat kosong” dan akhirnya, jururawat-jururawat ini meninggalkan sektor KKM untuk berada di tempat swasta yang mengiktiraf kepakaran mereka.

Bukankah matlamat jururawat-jururawat yang mengambil pos basik adalah supaya mereka dapat melatih kepakaran mereka di tempat bertugas sedia ada?

Sudah berapa ramai jururawat-jururawat senior yang mempunyai kepakaran pos basik dan sub-kepakaran khas mula meninggalkan sektor KKM dan pergi ke sektor swasta untuk mendapatkan lebih banyak imbuhan dan diiktiraf kepakarannya.

Walhal mereka juga adalah bekas golongan patriotisme yang ingin berjuang dalam sektor kerajaan walaupun diberi gaji yang tidak seberapa, tetapi dinafikan hak untuk berada dalam ruang bertugas tersebut, mula mengangkat kaki kerana hal tersebut.

Hentikanlah program “reshuffle” yang menyusahkan jururawat kerana perkara ini sedikit sebanyak memberi impak pada jururawat, lebih-lebih lagi dari segi emosi dan mental jururawat.

Sejujurnya, program “reshuffle” sangatlah tidak sesuai dijalankan dalam sektor kesihatan kerana ini bukan sahaja merugikan kepakaran di tempat bertugas sedia ada, malah menyebabkan timbulnya banyak risiko pesakit diselia dan dijaga oleh jururawat yang kurang mahir dalam kepakaran yang sepatutnya diselia oleh jururawat yang mempunyai pos basik dan lebih berpengalaman.

Program “reshuffle” antara jururawat senior yang mempunyai pos basik bukan sahaja merugikan kepakaran jururawat di tempat bertugas, tetapi lebih banyak menimbulkan ketegangan emosi.

Program “reshuffle” sebenarnya lebih sesuai dijalankan pada jururawat-jururawat junior bagi memupuk dan mengembangkan minat mereka, serta membentuk halatuju mereka untuk menjadi jururawat yang cenderung kepada bidang-bidang yang mereka minati dalam tempoh reshuffle berlaku.

Staf senior pula boleh memberi bimbingan dan didikan, di samping mengekalkan budaya kerja sihat dan seronok untuk berada di tempat bertugas sedia ada. Perluasan skop “reshuffle” boleh juga dikembangkan pada jururawat-jururawat yang bermasalah supaya minda mereka lebih terbuka dan membuka kecenderungan dan minat mereka pada disiplin-disiplin lain.

Dengan memberi ruangan terbuka kepada jururawat bermasalah, masalah rasa tidak seronok dalam bertugas dapat diatasi dengan memberi mereka ruangan lain yang mungkin akan menimbulkan rasa minat untuk berada di tempat yang lebih kondusif untuk mereka.

Buat pengurusan tertinggi kejururawatan, walau di manapun ada berada, di pejabat, di klinik kesihatan mahupun di hospital, layanlah jururawat sebaik-baiknya. Hentikanlah kerenah-kerenah menyusahkan sehingga menyebabkan ramai jururawat mengalami tekanan mental dan emosi. Janganlah membawa budaya “kami dulu” dalam zaman ini.

Terimalah kenyataan bahawa zaman ini sudah banyak berubah dengan kemajuan teknologi dan digitalisasi. Terlalu banyak carta-carta mengarut dalam satu fail pesakit yang menyebabkan banyak masa jururawat terbuang dan terbeban.

Sudahlah diisi di dalam sistem, kononnya canggih, rupa-rupanya di dalam carta manual pun perlu diisi. Berapa banyak lagi perkara mengarut yang perlu dibuat sehingga ramai yang akan berpuas hati? 

Mengapa tiada pelarasan khas carta yang lebih sistematik, dan memudahkan kerja jururawat menjaga pesakit dan melakukan catatan pesakit dengan mudah?

Berhentilah mengugut golongan jururawat-jururawat bawahan ini dengan melakukan ugutan pertukaran dan ugutan markah rendah dalam LNPT.

Budaya toksik ini perlu dihentikan. Layanlah kami seperti manusia. Bukankah golongan bawahan ini juga yang menjadi pemijak kaki kamu – kamu yang menaiki untuk berada di puncak paling atas?

Saya masih ingat lagi keseronokan saya bertugas dahulu di sektor KKM. Biarpun kami penat menjalankan tugas, sebelum dan selepas Covid-19, rasa seronok itu tak dapat diganti bersama sahabat-sahabat jururawat yang lain.

Tidak timbul pula rasa ingin berhenti walaupun diberi gaji yang kecil, tidaklah kami mengeluh, hanya rasa penat itu diganti dengan rasa bersyukur diberi tugas yang mulia.

Tetapi, bila sedikit demi sedikit keistimewaan kami sebagai jururawat ditarik bertugas di tempat yang tidak bersesuaian hanya untuk mengisi kekosongan dan kepakaran dipertikai, kami mulai meragui dengan kepimpinan KKM. Kami tak mampu bersuara kerana risau akan diugut dan kami cuma mampu angkat kaki meninggalkan KKM.

Wakil suara saya buat mereka yang meninggalkan KKM, yang terakhir dari saya untuk Dr Mahathar, tanyalah sahabat-sahabat saya yang masih berada dalam KKM, adakah mereka mahu anak-anak mereka menjadi jururawat? Saya yakin 90% hingga 95% akan mengatakan TIDAK dengan tegas.

Adalah mereka seronok dengan tugas mereka sekarang? 90% dari mereka akan mengatakan TIDAK. Dan apakah harapan mereka sekarang?

Dan saya yakin, ramai yang menantikan untuk memohon persaraan awal kerana tidak tahan dengan apa yang berlaku sekarang. TIDAK DIHARGAI DAN DIKHIANATI, dari semua segi, kepakaran dan kebolehan, hanya mampu ke sektor swasta yang lebih menghargai jururawat-jururawat seperti kami.

Saya mohon dari pihak Dr Mahathar, cubalah untuk menghargai mereka yang setia berkhidmat lagi, sebelum mereka juga mengangkat kaki seperti saya meninggalkan KKM.

Terima kasih, Dr Mahathar Abd Wahab, Ketua Pengarah Kesihatan KKM.

  • Ini adalah pendapat peribadi penulis atau penerbitan dan tidak semestinya mewakili pandangan CodeBlue.

You may also like