Sisi Gelap Hospital Kemaman Dan Ketirisan JKNT — Pegawai Perubatan Hospital Kemaman

Seorang MO di Hospital Kemaman menjelaskan masalah utama bagi setiap penjawatan di hospital pakar major itu di Terengganu: MO, HO, PPP, jururawat, PPK, dan PT Jabatan. “Enough is enough. Semua kakitangan di Hospital Kemaman sudah berada di tahap BURNOUT!”

Pengalaman menjadi salah seorang Pegawai Perubatan di Hospital Kemaman telah banyak membuka mata saya berkenaan sisi gelap Hospital Kemaman dan ketirisan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu sendiri.

Sebelum ini, Hospital Kemaman pernah viral dek pesakit, tetapi kali ini biarlah ianya viral asbab ketidakadilan dan penganiayaan terhadap kakitangan-kakitangan yang merangkumi hampir kesemua jawatan yang wujud di Hospital Kemaman.

Kalau ada yang bertanya, kenapa tidak membuat aduan melalui saluran SISPAA? Jawapannya mudah sahaja – tiada penyelesaian, malah kakitangan yang membuat aduan pula yang dikenakan tindakan.

Pihak atasan golongan Dinosaur atau Labu Labi ini sebolehnya mahu menjaga periuk nasi sendiri, KPI masing-masing wajib di capai walaupun yang bersusah payah itu adalah kakitangan bawahan. Semua hanya nak nampak indah dan cantik sahaja di atas kertas dan di atas slide presentation.

Pihak JKNT pula seringkali menganggap Hospital Kemaman ini adalah hospital daerah yang tidak sibuk seperti zaman 70-an dahulu, sedangkan Hospital Kemaman telah dinaiktaraf sebagai Hospital Pakar pada tahun 2003 lagi, dan sekarang ini telah wujud lebih kurang 13 kepakaran di hospital ini, setiap jabatan ini mempunyai pakar masing-masing:

  1. Jabatan Kecemasan & Trauma
  2. Jabatan Perubatan
  3. Jabatan Pembedahan
  4. Jabatan Ortopedik
  5. Jabatan Pediatrik
  6. Jabatan Obstetrik & Ginekologi
  7. Jabatan Anestesiologi
  8. Jabatan Oftalmologi
  9. Jabatan Otorinolaringologi
  10. Jabatan Radiologi
  11. Jabatan Rehabilitasi
  12. Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental
  13. Jabatan Patologi

Bilangan fasiliti di Hospital Kemaman:

Bilangan Katil di Wad = 160
Overflowing with patients, kekurangan kakitangan di wad.

Bilangan Katil ICU = 6
Hanya 5 Katil sahaja boleh berjalan serentak dalam satu-satu masa dek kekurangan peralatan dan kakitangan.

Bilangan Bilik Bedah = 4
Hanya 3 Bilik Bedah boleh berjalan serentak sehingga jam 3 petang dalam satu-satu masa, sama juga isu kekurangan kakitangan.

Bilangan Kompleks Klinik Pakar = 2
Juga isu kekurangan kakitangan. Pada tahun 2023 – 2024, Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) mengeluarkan arahan: semua jururawat tidak dibenarkan lagi untuk bertugas di Klinik Pakar, dan perlu kembali bertugas di wad dan tugasan di Klinik Pakar perlulah di kendalikan oleh Penolong Pegawai Perubatan (PPP). Isu timbul bila mana tiada penambahan PPP di Klinik Pakar sehingga kini, dan PPP sedia ada tidak lebih dari 3 orang untuk menggalas setiap tugasan di Klinik Pakar sedia ada.

Masalah Utama Di Hospital Kemaman Bagi Setiap Penjawatan

Medical Officer – Pegawai Perubatan (MO)

Hari demi hari, tahun demi tahun, masalah kekurangan MO ini semakin ketara dan sudah berada di tahap kritikal. Bebanan tugas terutamanya jumlah Active On-Call semakin bertambah.

Purata 1 Jabatan Major (Perubatan, Pembedahan, Ortopedik, Pediatrik, O&G) = 8-10 MO.

Sebagai contoh, bebanan seorang MO untuk melakukan Active On-Call di setiap jabatan (tidak termasuk Passive Call):

  • Jabatan Perubatan: 8-9 kali/bulan
  • Jabatan Pembedahan: 11 kali/bulan
  • Jabatan Ortopedik: 10-11 kali/bulan
  • Jabatan Pediatrik: 12-13 kali/bulan

Ini bermakna setiap MO di jabatan-jabatan ini melakukan Active On-Call selang sehari atau selang 2 hari, tiada Post-Call Off, MO Post-Call masih perlu bekerja seperti biasa sehingga jam 5 petang keesokan harinya. Total working hours: 33 jam.

Ada masa dan ketika MO perlu melakukan back-to-back on-call dan masih perlu bekerja ketika Post-Call (total working hours: 57 jam) dalam satu-satu masa.

Alasan JKNT tidak menghantar MO ke Hospital Kemaman adalah kerana tiada penjawatan dan tiada kekosongan.

Berdasarkan apa yang diceritakan oleh Senior MO kepada saya, suatu ketika dahulu (dalam tahun 2016-2017), Hospital Kemaman pernah mengalami situasi jumlah MO yang ramai di mana setiap jabatan memperoleh purata 15 MO, tetapi cuma untuk tempoh satu ke dua tahun sahaja. Selepas itu, jumlah ini berkurang sehingga kini berada di paras kritikal.

Persoalannya di sini:

  1. Kenapa dahulu JKNT boleh menghantar MO yang ramai ke Hospital Kemaman sedangkan jumlah penjawatan tetap sama sahaja seperti hari ini?
  2. Kenapa sekarang di berikan alasan tiada kekosongan dan tiada penjawatan?
  3. Kenapa JKNT hanya tertumpu kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sahaja?
  4. Banyak sangat ke penjawatan MO di HSNZ yang membolehkan surplus of MOs di HSNZ itu sendiri?
  5. Sampai bila MO di Hospital Kemaman perlu melakukan Active On-Call sebegini kerap? Kerana keadaan ini sudah bertahun lamanya dan masih tiada penambahbaikan.
  6. Bagaimana pula dengan tahap kesihatan mental MO di Hospital Kemaman? Adakah ianya tidak penting?
  7. Apa relevannya MO lantikan tetap yang baharu di berikan penempatan tetap di Hospital Dungun tetapi bertugas di Hospital Kemaman dalam konteks Kluster Terengganu Selatan buat masa sekarang? Hal ini amat merisaukan di mana semua MO ini bila-bila masa sahaja boleh dipanggil balik semula ke Hospital Dungun. Keadaan kekurangan MO di Hospital Kemaman akan kekal menjadi masalah utama.

Melakui risikan, Jabatan A di HSNZ vs Jabatan A di Hospital Kemaman vs Jabatan A di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di negeri Pahang.

Dalam satu hari, di Jabatan A:
• 7 MO Active On-Call di HSNZ
• 3 MO Active On-Call di Hospital Kemaman
• 4 MO Active On-Call di HTAA

Kenapa sampai perlu 7 orang MO Active On-Call dalam sehari? Ini menunjukkan betapa ramainya MO di HSNZ berbanding di Hospital Kemaman, sedangkan kedua-keduanya adalah hospital berpakar major di negeri Terengganu.

House Officer – Pegawai Perubatan Siswazah (HO)

Berikutan arahan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, kemasukan HO ke Hospital Kemaman telah dihentikan sejak pertengahan tahun 2023 lagi, dan ini bermaksud tiada sebarang kemasukan baru bagi tahun 2024.

Di saat saya menulis ini, batch HO paling junior sudah pun berada di penghujung posting ke-5, dan dijangkakan tiada lagi HO di jabatan-jabatan major seperti Jabatan Perubatan, Jabatan Pembedahan, dan Jabatan Ortopedik mulai bulan Mac 2025 ini.

Justeru, kesemua tugasan HO akan digalas oleh MO sahaja. Ini amat membebankan kerana jumlah MO juga sangat kritikal di setiap jabatan di samping bebanan tugas sedia ada.

Keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menghantar HO ke hospital-hospital utama negeri sahaja adalah sangat tidak munasabah, kerana hospital berpakar di daerah lain juga mempunyai bebanan tugas yang tinggi.

Apa relevannya keputusan untuk menghantar HO ke hospital utama negeri sahaja, dan tidak ke hospital berpakar di daerah yang lain?

Penolong Pegawai Perubatan (PPP)

Pengagihan yang cacamarba dek penjawatan hanya tertumpu kepada Jabatan Kecemasan & Trauma sahaja.

PPP di jabatan lain boleh kata hampir semua adalah dalam konteks pinjaman dari Jabatan Kecemasan, dan boleh ditarik semula ke Jabatan Kecemasan pada bila-bila masa sahaja.

Sebagai contoh, tiada penjawatan PPP di Jabatan Ortopedik sehingga ke hari ini, sedangkan PPP adalah salah satu penjawatan penting di Jabatan Ortopedik.

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mewujudkan penjawatan PPP di Jabatan Ortopedik ini tetapi jawapannya tetap sama. Permohonan ditolak mentah-mentah sahaja oleh pihak atasan dengan alasan “tunggu penjawatan hospital baharu nanti.”

Jururawat

Ketidakseimbangan jumlah jururawat terutamanya di wad-wad. Jururawat di wad terpaksa melakukan Double-Shift dek kekurangan kakitangan sedia ada.

Apabila timbul masalah, solusi hanya satu, iaitu “reshuffle jururawat sedia ada di setiap wad.” Jumlah jururawat di setiap shif adalah berkadar songsang dengan jumlah pesakit di wad.

Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK)

Ketidakseimbangan dalam pembahagian PPK di setiap jabatan yang menyebabkan sebahagian PPK terpaksa melakukan tugasan yang melebihi bidang tugas masing-masing.

Pembantu Tadbir (PT) Jabatan

Seorang PT dikongsi bersama dua atau tiga jabatan, sedangkan di tempat lain, seorang PT hanya in-charge satu jabatan sahaja. Ini amat menyukarkan proses kerja untuk setiap PT di setiap jabatan kerana terpaksa melakukan kerja yang digalas untuk dua atau tiga orang.

Apabila isu ini dibawa ke PTD sejak sekian lama, tiada penambahbaikan dilakukan, malah ditekan lagi dengan memberi tugasan tambahan.

Inilah serba sedikit sisi gelap Hospital Kemaman dan ketirisan JKNT yang boleh saya coretkan buat masa ini.

Cukup-cukuplah nak nampak indah di atas kertas dan di atas slide presentation.

Cukup-cukuplah datang melawat kalau tiada penambahbaikan yang hendak dilakukan, hanya sekadar untuk mencapai KPI tahunan sahaja.

Cukup-cukuplah tanggapan bahawa Hospital Kemaman ini seperti hospital zaman 70-an dahulu.

Cukup-cukuplah mengatakan bahawa kakitangan di Hospital Kemaman ini sudah mencukupi.

Cukup-cukuplah dengan menyorokkan realiti dari dunia luar.

Enough is enough.

Semua kakitangan di Hospital Kemaman sudah berada di tahap BURNOUT!

Tahap kesihatan mental masing-masing sudah di paras abnormal.

Work-life balance? Tenggelam di laut dalam.

Quality of life? No more.

Bagaimana kami semua nak memberikan servis terbaik kepada pesakit dalam keadaan begini – understaffed, overworked.

Implikasi akibat kakitangan yang keletihan dan kelesuan melampau adalah mendatangkan bahaya kepada pesakit, peningkatan kes-kes kecuaian (medical negligence), dan masa menunggu untuk menerima rawatan akan meningkat.

Saya menyeru dan merayu kepada pihak KKM, BUKALAH MATA!

CodeBlue memberi penulis kerahsiaan oleh sebab penjawat awam tidak dibenarkan menulis kepada pihak media.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of CodeBlue.

You may also like