Tujuh Kampung Di Hulu Langat Dikenakan PKPD Selepas Pelajar Tahfiz Positif Covid-19

Melibatkan 3,918 orang penduduk kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat

KUALA LUMPUR, 29 Mac — Bermula tengah malam ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan ke atas tujuh buah kampung di Hulu Langat, Selangor selepas 71 pelajar sekolah tahfiz di kawasan tersebut disahkan positif Covid-19.

Kerajaan membuat keputusan tersebut apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes-kes tersebut daripada Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah yang terletak di Batu 23 Sungai Lui.

PKPD ini, yang berkuatkuasa mulai 30 Mac 2020 hingga 13 April 2020, melibatkan 3,918 orang penduduk kawasan Batu 21 hingga Batu 24.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri dalam kenyataannya hari ini berkata tujuan PKPD dilaksanakan di kawasan tersebut adalah sama seperti di Simpang Renggam iaitu membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar. Ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes rumah ke rumah dilakukan sepanjang 14 hari tersebut

Semua penduduk dan pelawat di kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar rumah. Orang luar tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan tersebut. Semua aktiviti perniagaan dihentikan.

Beliau juga memberitahu bahawa Pangkalan Perubatan akan dibuka dan makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Semua laluan keluar masuk akan ditutup dan dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ini merupakan arahan kedua selepas Simpang Renggam.

You may also like