Lima Kematian Dari Pil Gugur Dijual Di Internet

Pil gugur dijual di Facebook, Instagram, dan WhatsApp, dan juga Lelong.com, 11street, Lazada, dan Shopee.

KUALA LUMPUR, 17 April — Lima wanita telah meninggal dunia selepas makan pil gugur yang dijual secara haram melalui media sosial dan platform beli-belah dalam talian.

Sinar Harian melaporkan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata empat dari lima kematian dilaporkan pada tahun 2015, manakala satu kes dilaporkan pada tahun 2017.

“Empat kes kematian akibat pendarahan selepas bersalin, manakala satu lagi kes melibatkan amniotic fluid embolism (air ketuban masuk dalam salur darah).

“Kesemua kes melibatkan pemberian produk yang mengandungi misoprostol melalui intra-vagina,” Dzulkefly beritahu Sinar Harian.

Beliau dilaporkan berkata tiga lagi kes melibatkan keancaman nyawa wanita yang mengambil pil misoprostol.

Dzulkefly berkata pil gugur dijual di 146 laman internet dan juga media sosial seperti Facebook, Instagram, dan WhatsApp, dan juga platform dalam talian seperti Lelong.com, 11street, Lazada, dan Shopee.

“Penghantaran pil misoprostol kepada pembeli pula dihantar terus menggunakan perkhidmatan pos dan kurier,” beliau berkata.

Walaupun pengguguran dibenarkan di bawah undang-undang Malaysia sekiranya kehamilan mengancam nyawa dan kesihatan ibu, kebanyakan klinik menawarkan prosedur tersebut secara terselindung.

You may also like