Ahli Lembaga Felcra Dapat Coronavirus, Ibu Pejabat Tutup

Ketua pegawai eksekutif Felcra kata tiada simptom Covid-19 ditemui di kalangan staf.

KUALA LUMPUR, 4 Mac — Seorang ahli lembaga pengarah syarikat Felcra Berhad telah disahkan positif untuk novel coronavirus, organisasi korporat milik kerajaan itu mengumumkan hari ini.

“Buat masa ini, keadaan terkawal dan tiada simptom ditemui di kalangan staf,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Nazrul Izam Mansor dalam sebuah kenyataan petang ini.

“Pihak syarikat telah mengenal pasti staf-staf yang mempunyai kontak rapat dengan individu berkenaan dan kesemua mereka kini sedang membuat ujian saringan kesihatan di hospital berdekatan,” tambah beliau.

Sehingga kini, mereka masih di dalam self-quarantine sehingga pihak hospital dapat memberi keputusan bagi ujian saringan mereka untuk Covid-19.

“Selain itu, langkah-langkah pencegahan semasa adalah termasuk melakukan ujian saringan suhu di lobi premis syarikat dan menyediakan hand sanitizer kepada staf dan pelawat,” Mohd Nazrul kata.

Mohd Nazrul kata kali terakhir ahli lembaga pengarah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) itu berada di dalam bangunan Wisma Felcra adalah pada 25 Februari.

Oleh itu, semua aktiviti dan operasi di peringkat ibu pejabat Felcra telah diberhentikan serta merta bermula hari ini sehingga Jumaat untuk membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dibuat.

Semua staf ibu pejabat Felcra pula telah diarahkan untuk bekerja dari rumah, manakala semua staf dinasihatkan untuk tidak ke luar daerah supaya mudah untuk dihubungi oleh syarikat mereka.

Walau bagaimanapun, semua operasi Felcra di peringkat wilayah dan kawasan diteruskan seperti biasa, kata Mohd Nazrul.

“Ibu pejabat akan sentiasa berkomunikasi dengan pihak wilayah dan kawasan supaya operasi ladang dan kilang tidak terjejas,” tambah beliau.

Warga Felcra juga diminta untuk menghadkan perjalanan ke luar negara, terutama ke negara-negara yang terjejas sepertimana yang disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, atau WHO.

Mohd Nazrul memohon agar semua staf bersabar dan menjaga kebersihan mereka, dan untuk mendapatkan rawatan segera jika mendapati sebarang simptom berkaitan jangkitan pernafasan seperti demam, batuk, atau kesukaran bernafas.

“Pengurusan Felcra sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa dan akan mengambil langkah-langkah waspada seperti yang dinasihatkan pada kadar segera,” tambah beliau.

You may also like