Kes Baharu Coronavirus Dilapor, Jumlah Kes 19

Dua kes telah dirujuk untuk mendapat bantuan asas psikologi kerana stres akut dan keresahan.

KUALA LUMPUR, 14 Feb — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan semalam satu kes baharu novel coronavirus, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 19 di Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, 13 adalah warganegara China dan enam ialah warganegara Malaysia.

Kes baharu ke-19 ialah seorang wanita warganegara China berumur 39 tahun yang merupakan kawan kepada kes-14 dan anak kepada kes-16; yang kini kedua-duanya sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL), kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam.

Beliau bersama-sama empat orang yang lain telah tiba di Malaysia dari Wuhan, China pada 25 Januari.

“KKM juga telah menggerakkan Pasukan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS) sejak 6 Februari 2020 susulan Misi Bantuan Kemanusiaan bagi membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dari Wuhan, China,” Dr Noor Hisham berkata.

“Buat masa ini, terdapat dua kes telah dirujuk untuk menerima rawatan lanjut kerana stres akut dan keresahan. Mereka telah diberikan ubatan dan berada dalam keadaan stabil.”

Aktiviti pasukan tersebut termasuk bantuan asas psikologi “psychological first aid” (PFA) kelompok dan individu, serta kaunseling dan rujukan kepada pakar sekiranya perlu.

PFA juga turut diberikan kepada anggota kesihatan yang bertugas di lapangan, yang meliputi anggota kesihatan yang mengendalikan kes di wad isolasi hospital-hospital dikenalpasti.

You may also like