Baki Enam Penumpang Kapal Negatif Coronavirus

Empat warganegara Amerika Syarikat dan dua warganegara Netherlands tunggu untuk menaiki penerbangan mereka selanjutnya.

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Baki enam orang penumpang kapal persiaran Westerdam yang kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah disahkan negatif untuk jangkitan novel coronavirus.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semalam bahawa empat warganegara Amerika Syarikat dan dua warganegara Netherlands itu tunggu untuk menaiki penerbangan mereka selanjutnya.

“Kesemua mereka berada dalam keadaan sihat,” Dr Noor Hisham berkata semalam.

“Sehubungan itu, pihak kedutaan yang berkenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan ujian ini dan mereka akan dibenarkan untuk menaiki penerbangan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing yang selanjutnya.”

Seorang wanita dari Amerika Syarikat, yang telah menaiki kapal persiaran Westerdam yang berlabuh di Cambodia pada 13 Februari setelah ditolak kebenaran berlabuh di beberapa negara, disahkan positif di Malaysia untuk Covid-19 pada 15 Februari.

Warganegara Amerika Syarikat yang berumur 83 tahun mengalami gejala batuk, tetapi tiada demam atau sesak nafas.

“Sementara itu, seramai 143 penumpang yang melepasi saringan dan tidak bergejala, di mana 137 telah meneruskan perjalanan, manakala baki enam orang masih menunggu penerbangan sambungan ke destinasi masing-masing,” Agensi Pengurusan Bencana Negara berkata semalam.

“Seterusnya baki penumpang kapal persiaran Westerdam yang masih berada di Cambodia adalah tidak dibenarkan memasuki Malaysia mengambil kira semua penumpang tersebut adalah kontak rapat dengan kes yang disahkan positif terdahulu.”

Kerajaan Malaysia juga tidak membenarkan mana-mana kapal persiaran yang berlepas atau transit dimana-mana pelabuhan di China daripada memasuki Malaysia.

Menurut Kementerian Kesihatan Negara (KKM), jumlah kes Covid-19 yang masih menerima rawatan di wad adalah seramai 14 orang, manakala jumlah kes yang telah discaj adalah seramai lapan orang.

Kes coronavirus ke-15, seorang wanita warganegara China, telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang pada 15 Februari.

You may also like