KKM: Tiada Peningkatan Abnormal Kes Influenza

Lapan kes H1N1 dilaporkan di Sabah sejak 15 Dis.

KUALA LUMPUR, 31 Dis — Terdapat sedikit peningkatan kes influenza-like illnesses dan severe acute respiratory infection di Malaysia semenjak pertengahan bulan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata.

Namun begitu, peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya.

“Begitu juga, tiada peningkatan ketara bagi kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan dilaporkan dalam tempoh yang sama.

“Manakala, analisa terhadap virus influenza yang dikesan dari aktiviti survelan ini tidak menunjukkan sebarang tanda ianya telah mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza yang baru (novel virus),” Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bagi negara-negara beriklim tropika seperti Malaysia, jangkitan influenza dilaporkan berlaku sepanjang tahun, namun dalam julat yang kecil.

The Star melaporkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon berkata bahawa lapan kes H1N1 (Influenza A) telah dilaporkan di Sabah sejak 15 Disember.

Beliau berkata vaksin influenza disediakan di semua hospital kerajaan.

You may also like