KKM Sekat Penjualan Pil Gugur Janin

Pengambilan pil gugur tanpa pengawasan pengalam perubatan boleh menyebabkan “uterine rupture”, pendarahan tidak normal dan jangkitan kuman, serta boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat.

KUALA LUMPUR, 27 Dis — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bekerjasama dengan agensi lain untuk menyekat penjualan pil gugur janin di laman sesawang dan platform e-dagang.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak 2016 hingga 2019, sebanyak 302 laman sesawang telah disaring oleh KKM dan daripada jumlah tersebut, 98 laman sesawang telah dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Facebook, Twitter, dan YouTube untuk tindakan penutupan.

Selain itu, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia. Notifikasi dihantar kepada pengendali platform e-dagang agar menurunkan iklan-iklan berkenaan pil gugur janin.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga akan bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan pos dan kurier dalam usaha untuk menyekat pembelian pil gugur secara dalam talian atau penyeludupan dari luar negara.

“Pengambilan pil gugur tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar boleh memberi implikasi seperti rahim terkoyak (uterine rupture), pendarahan tidak normal dan jangkitan kuman serta boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat,” beliau berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KP Kesihatan, pemegang pendaftaran misoprostol telah membatalkan pendaftaran produk itu pada November 2016 di Malaysia. Selain Misoprostol, Mifepristone juga merupakan produk tidak berdaftar untuk menggugurkan janin.

Pengguguran janin dibenarkan di Malaysia jika ia membahayakan ibu, tetapi fasiliti kesihatan kerajaan hanya memberi perkhidmatan pengguguran janin kepada wanita berkahwin dan jika ia menepati kriteria.

Ini menyebabkan ramai orang wanita tidak berkahwin cuba menggugur janin sendiri tanpa pengawasan doktor.

You may also like