KKM Nafi Ibu Terkorban Akibat Pencemaran Pasir Gudang

KKM berkata Marini Kasman menghidap penyakit darah tinggi dan meninggal dunia daripada kegagalan jantung.

KUALA LUMPUR, 8 Julai — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan di media sosial bahawa seorang wanita meninggal dunia daripada masalah sesak nafas akibat pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata Marini Kasman, seorang wanita berumur 37 tahun yang menghidap penyakit darah tinggi selama 10 tahun, meninggal dunia pada 6 Julai daripada kegagalan jantung (decompensated heart failure) akibat masalah kesihatan yang kronik.

“Pihak KKM ingin mengucapkan takziah kepada suami serta ahli keluarga dan amat bersimpati terhadap apa yang sedang mereka lalui. 

“Namun begitu, adalah dimaklumkan bahawa punca kematian beliau bukan disebabkan oleh insiden pencemaran di Pasir Gudang,” Dzulkefly berkata dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata semakan di Hospital Sultan Ismail Johor Baru mendapati tiada rekod yang melaporkan arwah pernah mendapatkan rawatan semasa kejadian pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, pada bulan Mac lepas, atau sejak 20 Jun lalu dalam kejadian pelajar sekolah sesak nafas di Pasir Gudang.

Menurut Dzulkefly, Marini dibawa ke Hospital Sultan Ismail Johor Baru pada 5 Julai kerana mengalami gejala kesukaran bernafas dan batuk selama tiga hari, bengkak di bahagian kaki, dan demam selama sehari. 

Beliau telah dimasukkan ke dalam wad, di mana pemeriksaan mendapati arwah berada dalam keadaan akut (acute), iaitu tekanan darah yang sangat tinggi serta kadar pernafasan yang tinggi (sesak nafas).

Marini kemudian meninggal dunia pada 6 Julai selepas keadaan kesihatannya menjadi semakin serius. 

“KKM juga bersedia untuk berjumpa dengan ahli keluarga arwah bagi menerangkan semula penyebab kematian,” Dzulkefly berkata.

Sebuah grafik di Facebook mendakwa bahawa Marini, seorang penduduk Cahaya Masai di Pasir Gudang, meninggal dunia dipercayai akibat kekurangan oksigen dalam darah yang menyebabkan masalah sesak nafas berpunca daripada pencemaran udara di Pasir Gudang.

Pihak berkuasa masih belum lagi mengenalpasti punca insiden kesihatan baru-baru ini di Pasir Gudang yang menyebabkan 1,138 orang mengalami gejala sesak nafas dan rasa loya antara 20 Jun hingga 5 Julai lalu.

You may also like