Kanak-Kanak Asing Diberi Vaksin Polio

Malaysia akan bekerjasama dengan Unicef untuk dapatkan vaksin polio kos rendah untuk program imunisasi kanak-kanak bukan warganegara di Sabah.

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Seramai 59 orang kanak-kanak berumur 2 bulan hingga 15 tahun di kawasan berhampiran kes polio di Tuaran, Sabah, telah diberikan vaksin polio.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua mereka ini merupakan kanak-kanak bukan warganegara.

“Bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan, aktiviti imunisasi tambahan akan diberikan kepada semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah secara berperingkat. Perancangan rapi sedang dibuat dan pemberian imunisasi tambahan ini akan dijalankan secepat mungkin,” Dr Noor Hisham berkata dalam satu kenyataan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan bekerjasama dengan Unicef untuk mendapatkan bekalan vaksin pada kos yang rendah yang disubsidi oleh badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu untuk program imunisasi kanak-kanak bukan warganegara di Sabah.

“Selain itu, KKM juga akan memantapkan kerjasama dua hala dengan kerajaan Filipina, termasuk program imunisasi bagi kanak-kanak warganegara negara tersebut yang berada di Sabah,” kata Dr Noor Hisham.

Seramai 1,553 orang telah diperiksa di kawasan sekitar tempat tinggal kes dan kawasan berhampiran dan kawasan berisiko untuk mengesan kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) yang boleh menunjukkan polio. Tiada yang bergejala AFP dikesan.

“Sehingga kini, tiada virus polio liar (wild) atau vaccine-derived poliovirus (VDPV) dikesan dalam sampel persekitaran,” kata Dr Noor Hisham.

KKM telah memaklumkan pada 8 Disember lalu kes seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga bulan dari Tuaran yang dijangkiti virus polio. Ini ialah kes polio pertama di Malaysia sejak Malaysia diisytiharkan bebas polio pada tahun 2000.

You may also like