JPA Lulus Permohonan KKM Untuk Lebih 10,000 Jawatan

Hospital Rembau mendapat 385 bilangan jawatan.

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Kerajaan persekutuan telah mempertimbang dan meluluskan permohonan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mewujudkan 10,675 bilangan jawatan.

Ini ialah berdasarkan keperluan fasiliti kesihatan KKM yang telah siap dan bakal beroperasi mulai tahun ini hingga tahun depan.

“Sebagai permulaan, waran perjawatan yang mengandungi 385 perjawatan untuk Hospital Rembau, Negri Sembilan, telah diserahkan kepada YBhg Dato’ Seri Dr Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha KKM pada hari ini.

“Jawatan ini merupakan sebahagian daripada 10,675 yang akan diagihkan secara berfasa,” Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, berkata dalam satu kenyataan hari ini.

“Kelulusan permohonan KKM ini mengambil kira untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Namun begitu, sektor-sektor perkhidmatan lain juga penting dan turut menyumbang kepada pembangunan negara. Justeru, penyelesaian isu perjawatan ini perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada satu kementerian sahaja.

“Pada tahun lepas, pelaksanaan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam yang telah diputuskan oleh kerajaan menyasarkan pengurangan lima peratus daripada 1.7 juta perjawatan di sektor awam bagi tempoh tiga tahun mulai dari tahun 2019 sehingga 2021. Ia adalah bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber manusia serta meningkatkan kecekapan produktiviti dalam perkhidmatan awam.”

Pengumuman Jabatan Perkhidmatan Awam tidak berkata sama ada bilangan jawatan KKM yang diluluskan adalah jawatan tetap atau kontrak.

KKM telah berkata bahawa hampir setengah daripada dua golongan pegawai perubatan siswazah (HO) kontrak yang pertama telah dilantik sebagai pegawai perubatan kontrak untuk menjalani perkhidmatan awam mereka selama dua tahun. Selepas itu, mereka diberitahu untuk mencari kerja di sektor swasta.

You may also like