Dzulkefly: Redzuan Sudah Terangkan Gambar Merokok Depan Tanda Larangan Merokok

Gambar tersebut dikatakan diambil sebelum Redzuan menjadi menteri.

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata bahawa Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof telah pun menerangkan kepadanya gambar viral merokok beliau di hadapan tanda larangan merokok.

Dzulkefly, menerusi laman Twitternya, menjawab soalan seorang pengguna twitter @OrenjiRenOren yang bertanya jika Dzulkefly akan menegur Redzuan kerana perbuatannya merokok cerut di hadapan tanda tersebut di tempat makan.

“Salam @OrenjiRenOren @MeowPhone. Isunya bukan berani-tidak… @officialpakwan tlh terangkan kpd saya,” kata Dzulkefly sambil memuatnaik satu pautan ke artikel MalaysiaGazette yang lebih menerangkan perkara tersebut.

“Peringatan kpd Perokok2: Kalau pun Sdra blm dpt BERHENTI/Quit lg..Tolong hormati Larangan Merokok ditempat2 Makan Awam demi Kesejahteraan Anak2 & Semua! TK!” tambah Dzulkefly dalam muatnaik beliau.

Gambar Redzuan dikatakan diambil sebelum beliau memegang jawatan menteri.

Setiausaha akhbar Redzuan berkata, menurut MalaysiaGazette, bahawa isu tersebut pernah ditularkan sebelum ini, sambil menjelaskan bahawa ketika itu, peraturan larangan merokok di tempat awam belum dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Ini merupakan kenyataan yang sengaja untuk mencemar kredibiliti dan imej YB Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof selaku Menteri Kabinet dan adalah suatu bentuk polemik untuk menjatuhkan beliau,” kata setiausaha itu.

You may also like